Boikot 'senyap'

Boikot ‘senyap’

PEMAIN industri tidak mempedulikan lagi soal harga siling ayam apabila barang makanan itu mula dijual bermula dari RM10.40 hingga RM11.50 sekilogram sekarang. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan syarikat-syarikat penternak ayam menghentikan operasi ladang akan menjejaskan rantai­an bekalan dan mengakibatkan pasaran kerugian RM26 juta.

Setakat ini empat syarikat penternak dilaporkan menghentikan operasi ladang dipercayai ‘memboikot’ tindakan lambat pihak kerajaan membayar subsidi harga ayam 60 sen.

Syarikat-syarikat berkenaan yang dikaitkan dengan kartel ayam mengemukakan alasan masalah ‘ketumbuhan ayam’ bagi menghalalkan tindakan menutup operasi di ladang.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, sumber industri memberitahu, strategi lama ‘tangan-tangan hitam’ itu mencatu ayam dalam pasaran sebelum ini gagal hingga mereka mengambil keputusan menutup ladang-ladang ayam.

“Setakat ini empat syarikat telah mengeluarkan pekeliling kepada semua pihak mengenai tindakan berkenaan. Ada yang bermula (menutup operasi) hari ini dan ada yang akan bermula esok sehingga Isnin ini.

“Tindakan itu bakal menghuru-harakan keadaan semasa rantaian bekalan ayam dengan pasaran dijangka mengalami kerugian sebanyak RM26 juta,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Rabu lalu, akhbar ini mela­porkan, sekumpulan kartel industri ternakan ayam didakwa merancang menutup ladang ter­nakan esok dan Ahad ini sebagai protes kepada kerajaan ekoran bayaran subsidi harga ayam sebanyak 60 sen.

Penutupan ladang ternakan bukan sahaja mendorong peningkatan harga ayam, malah pengguna perlu berebut untuk mendapatkan bekalan yang turut menjejaskan operasi perniagaan pembekal.

Dalam pada itu, sumber industri menambah, jika seluruh syarikat penternak menghentikan operasi mereka secara serentak, bekalan ayam akan terputus menyebabkan kerugian besar susulan penggunaan ayam harian pengguna adalah dua juta.

Jelasnya, tindakan untuk mencatu ayam akan merugikan banyak pihak di mana pemborong terpaksa mengambil cuti disebabkan tiada hasil jualan untuk satu tempoh tertentu.

Sumber berkenaan turut menggesa kerajaan bertindak progresif dengan menyiasat dan membantu menyelesaikan masalah daripada peringkat peladang lagi bagi memastikan masalah sama tidak berlanjutan.

“Penggunaan ayam rakyat Malaysia untuk satu hari adalah dua juta ekor, satu ekor anggaran beratnya adalah dua kilogram (kg). Satu kg harga ladang sekarang adalah RM6.50, kira-kira sebanyak RM26 juta nilai terjejas, belum campur dengan nilai dari peruncit ke pembeli.

“Kerajaan perlu tubuhkan pasukan khas dianggotai semua agensi serta-merta untuk menyelesaikan masalah ini supaya ia tak berlanjutan. Ba­yangkan kalau semua negara berhenti eksport gandum dan jagung. Apa akan jadi dengan negara? Akan putus bekalan ayam dalam tempoh masa yang lama. Sekarang pihak berkuasa perlu faham harga kawalan bukan isunya,” katanya.

Kelmarin satu pekeliling yang dikeluarkan sebuah syarikat ladang ternakan di Melaka yang memaklumkan bekalan ayam akan dihentikan pada 21 hingga 22 Mei ini atas alasan ‘masalah-masalah ayam di ladang ternakan’.

Sumber memaklumkan bahawa setiap syarikat penternak terlibat akan mengambil cuti berganti, bukan serentak dan akan meneruskan dengan alasan ayam tidak cukup berat yang terjadi disebabkan dedak ayam tidak berkualiti.

“Sebab dedak tak kualiti ini adalah masalah global, beberapa negara yang sepatutnya bekalkan jagung yang bagus hentikan eksport seperti Brazil dan Amerika Syarikat (AS). Penternak terpaksa import dedak dari negara dedaknya tidak mempunyai kualiti se­perti China, kesannya anak ayam tak berkualiti menyebabkan ayam terbantut.

“Ayam juga akan banyak sakit, masa bela ayam akan jadi lebih panjang. Maksudnya banyak peladang akan ada penambahan kos dan kerugian demi kerugian,” jelasnya.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyegerakan pembayaran subsidi harga ayam sebanyak 60 sen kepada penternak sebagaimana dijanjikan kerajaan sebelum ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN