PETALING JAYA: Sikap ibu bapa yang lepas tangan dan mengikut kehendak anak-anak dengan membenarkan mereka menunggang motosikal atau memandu kenderaan tanpa lesen, mengundang padah apabila sejumlah 4,373 kematian melibatkan mangsa berusia bawah 16 tahun direkodkan dalam tempoh lima tahun lalu.
Jumlah itu melibatkan 9,202 kes kemalangan mangsa berusia bawah 16 tahun yang direkodkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman di seluruh negara sejak 2018 sehingga April lalu.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pengarah JSPT, Datuk Mat Kasim Karim berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 1,880 remaja dilaporkan parah manakala 1,703 lagi cedera ringan selepas terlibat dalam kemalangan.
Kata beliau, sebanyak 290 kes lagi mengalami kerosakan pada kenderaan milik mereka.
“Mengikut rekod, kes tertinggi dilaporkan adalah pada 2019 apabila sebanyak 2,568 kemalangan dengan 1,435 kematian membabitkan individu bawah usia 16 tahun sepanjang tempoh berkenaan.
“Sebanyak 2,343 kes lagi direkodkan pada 2018 dengan 1,479 kematian diikuti 2020 (1,744 kes, 434 kematian) dan 2021 (1,643 kes, 530 kematian) manakala awal tahun ini sehingga April lalu (904 kes, 233 kematian),” katanya di sini baru-baru ini.
Kata Mat Kassim, kemalangan paling banyak direkodkan adalah membabitkan mereka yang menunggang motosikal dengan sejumlah 3,893 kes dicatatkan diikuti memandu kereta (3,333 kes), lori (749 kes), kenderaan pacuan empat roda (479 kes), basikal (133 kes), van (132 kes), bas (84 kes) dan lain-lain (399 kes).
“Walaupun trend kemalangan membabitkan kanak-kanak bawah umur ini tidak menunjukkan satu angka yang besar namun jika dilihat masih ada mereka bertindak menggunakan jalan raya mengikut kehendak diri.
“Selain daripada sikap individu itu sendiri, faktor pengguna jalan raya menyumbang kepada peningkatan kemalangan membabitkan kanak-kanak bawah umur ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, jelasnya, sikap pemandu yang tidak bertanggungjawab yang suka mencelah, menghimpit, melanggar lampu isyarat, memecut sesuka hati di laluan tidak sepatutnya selain berlumba di jalan raya juga menjadi faktor kemalangan membabitkan golongan ini
“Ada juga kes kita dapati pergerakan remaja bawah umur ini di luar pengetahuan dan kawalan ibu bapa.
“Bukan itu sahaja, masalah teknikal kenderaan seperti pengubahsuaian terlampau pada motosikal dan kenderaan yang dinaiki mereka ini juga menjadi penyumbang berlaku kemalangan yang tinggi,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan ibu bapa agar tidak membenarkan anak-anak menunggang atau memandu kenderaan tanpa lesen.
Tegasnya, ibu bapa atau penjaga boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang membawa hukuman denda tidak kurang dari RM2,000.
Tambah beliau, tindakan juga boleh dikenakan mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001 ke atas ibu bapa atau penjaga selain tindakan saman K257 di bawah Seksyen 26(1) APJ 1987.
“Ibu bapa hendaklah sentiasa memantau pergerakan anak-anak daripada keluar bersendirian atau menunggang motosikal atau kenderaan tanpa pengetahuan.
“Mereka harus sentiasa mengetahui kedudukan anak-anak semasa berada di luar rumah,” jelasnya.
Dalam kes terbaharu, seorang pekerja pemotong rumput warga Myanmar, Cinglowpa, 20, maut manakala rakannya berusia 33 tahun patah bahu kanan dirempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandu remaja 16 tahun ketika mereka berehat di bahu jalan di Jalan Pintasan Semeling berhampiran Taman Malinja, Bedong, Kedah pada 7 Mei lalu.
Baru-baru ini pula, tular perkongsian oleh pengguna TikTok yang memaparkan anak lelakinya berusia 10 tahun memandu Perodua Kancil untuk ke sekolah.
Difahamkan, kenderaan yang dipandu turut membawa penumpang iaitu dua lagi anak wanita berkenaan. – UTUSAN










