Penternak nafi wujud kartel ayam

Penternak nafi wujud kartel ayam

Kos operasi tinggi terutama harga dedak dikatakan punca harga ayam meningkat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) menafikan kewujudan kartel yang me­nguasai rantaian industri ayam negara ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penasihatnya, Datuk Jeffrey Ng berkata, ia merupakan dakwaan yang tidak berasas dan tidak adil sama sekali terhadap golongan penternak.

Katanya, penternak tidak akan menanggung kerugian se­kiranya wujud kartel seperti yang didakwa itu.

“Industri ayam ini kalau ada kartel kenapa kita rugi? Itu satu persoalan yang saya tanya. Sepatutnya kalau ada kartel semua kena untung.

“Cakap (wujud) kartel itu tak logik. Fakta apa yang diambil bahawa industri ini ada kartel? Ini menimbulkan satu isu yang tak menyenangkan hati orang terutamanya penternak.

“Sudah lebih 40 ladang (ayam) tutup, sepatutnya orang tak akan tutup ladang kalau ada kartel. Tuduhan itu tak ada asas sama sekali, kalau pakai cakap saja, saya pun boleh cakap. Banyak isu tak selari dengan apa yang berlaku di industri,” kata beliau ketika dihubungi, semalam.

Isnin lepas, akhbar ini mela­porkan, sebanyak lima kartel didakwa memonopoli sektor penting makanan negara bernilai RM10 bili­on setiap tahun itu, sejak berpuluh-puluh tahun lalu.

Campur tangan politik dalam isu membabitkan dominasi kartel terhadap industri penternakan ayam di seluruh negara menyebabkan pihak terbabit terus bermaharajalela.

Malah Utusan Malaysia difahamkan, kegagalan menubuhkan lembaga khas bagi mengawal industri ternakan ayam juga dikaitkan dengan campur ta­ngan ahli politik.

KOS OPERASI

Mengulas lanjut, Jeffrey berkata, isu berkaitan ayam menjadi kritikal ketika ini disebabkan operasi yang lebih tinggi berbanding harga siling yang ditetapkan terutama pada peringkat ladang.

Katanya, ini kerana kos makanan ternakan ketika ini terutamanya jagung meningkat, namun harga kawalan itu ditetapkan sebelum berlakunya peningkatan tersebut.

“Kita sendiri dapat lihat apabila harga minyak sawit me­ningkat melebihi RM7,000 satu tan metrik, walhal sebelum peperangan Rusia-Ukraine atau sekatan pergerakan, ia cuma RM2,000 lebih dan paling tinggi hanya mencecah RM4,000.

“Perang itu melibatkan Belarus, Ukraine dan Rusia yang menjadi pengeksport terbesar minyak matahari, jagung, kacang soya dan gandum (digunakan dalam dedak ayam).

“Tambahan Ukraine, Belarus dan Russia adalah pengeksport makanan ayam kelapan, kesembilan dan kesepuluh terbesar. Apabila ketiga-tiga negara tidak ada eks­port, maka kekurangan di peringkat dunia akan terlihat dan itu satu impak dalam rantaian makanan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Jeffery me­ngakui terdapat bantuan subsidi kerajaan namun banyak penternak berdepan masalah terutama berkaitan pendokumentasian bagi mendapatkannya.

“Kira-kira 65 peratus penternak berusia lebih 55 tahun, jadi mereka ini warga emas. Bila panggil buat dokumentasi, kebanyakan mereka kurang upaya untuk sediakan dokumentasi. Banyak penternak mengadu tak dapat subsidi.

“Bukan mahu katakan kerajaan tak bagi subsidi, tetapi perlu dipermudah. Sekarang bukan sahaja nak ternak ayam, tetapi kena buat dokumentasi tambah lagi subsidi yang tak cukup dengan kenaikan harga barang ketika ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN