TELUK INTAN: Seorang operator kilang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tiri perempuannya yang berusia 15 tahun, bulan lalu.
Tertuduh berusia 27 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Rafidah Che Aziz.
Mengikut pertuduhan, lelaki berkenaan didakwa melakukan amang seksual fizikal bagi maksud seksual terhadap mangsa di sebuah rumah di Perumahan Awam 2, Hutan Melintang di Bagan Datuk pada pukul 1 pagi, 29 Oktober 2026.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anisah Pisol manakala tertuduh diwakili
peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), S. Francis.
Hakim Rafidah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak R10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 14 Disember depan. – UTUSAN











