PUTRAJAYA: Had umur minimum untuk berkahwin wajar ditetapkan pada umur 18 tahun bagi lelaki dan perempuan sebagai usaha mengawal perkahwinan bawah umur berdasarkan empat faktor utama melibatkan perundangan, pendidikan, kesihatan dan sosial.
Pada masa ini, Undang-Undang Keluarga Islam (UUKI) setiap negeri menetapkan had umur minimum untuk berkahwin adalah 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi perempuan, melainkan di Selangor.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Hakim Syarie, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, empat faktor yang perlu diambil kira bagi kewajaran menaikkan had umur perkahwinan ialah berdasarkan Akta Kanak-Kanak yang menetapkan bahawa kanak-kanak adalah berumur 18 tahun ke bawah.

Faktor kedua ialah dari segi pendidikan kerana hak pendidikan adalah hak asasi individu yang mana umur 18 tahun ke bawah adalah satu tempoh untuk mendapatkan pendidikan.
Dari segi kesihatan pula, kajian menunjukkan perkahwinan kanak-kanak boleh mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan fizikal kanak-kanak perempuan yang hamil pada usia yang masih muda.
“Wanita yang berumur 18 tahun dan ke bawah juga berisiko lebih tinggi untuk mengalami keguguran berbanding wanita berumur 20 tahun ke atas.
“Dari sudut sosial, umur bawah 18 tahun dianggap masih mentah dan pemikirannya belum matang,” katanya di sini semalam.
KUASA KERAJAAN NEGERI
Mohd. Na’im yang juga Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah (JKSM) berkata, undang-undang berkenaan perkahwinan orang Islam adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri atau pihak berkuasa agama negeri yang dikuatkuasakan melalui Akta, Enakmen atau Ordinan UUKI.
Beliau berkata, mahkamah syariah akan melaksanakan ketetapan undang-undang berkenaan yang mana seseorang yang berada di bawah umur minimum perlu mendapatkan kebenaran Hakim Syarie terlebih dahulu sebelum boleh berkahwin.
Beliau menjelaskan, pada masa ini, sebanyak 3,647 perkahwinan bawah umur dibenarkan mahkamah syariah berbanding 4,232 jumlah yang didaftarkan dalam tempoh lima tahun.
Daripada jumlah itu, tiga negeri mencatatkan tertinggi melibatkan perkahwinan bawah umur iaitu Kelantan, Sabah dan Sarawak dengan kebanyakan kes mengemukakan alasan sudah terlanjur dan anak terlalu bebas yang susah dikawal.
Mohd. Na’im berkata, Jakim sebagai agensi penyelaras hal ehwal agama peringkat Persekutuan (sama seperti JKSM) telah mengadakan beberapa sesi perundingan dan perbincangan berkenaan pindaan had umur perkahwinan dengan pihak berkuasa agama negeri dan agensi-agensi berkaitan.
Katanya, beberapa siri perbincangan atau forum diadakan JKSM, Jakim dan Pejabat Peguam Negara dan Mesyuarat Komuniti Syariah pada 14 Ogos 2018 yang dihadiri semua Mufti mencadangkan peruntukan sedia ada berkaitan had umur dikekalkan tetapi prosedur permohonan diperkemaskan.
Bagaimanapun, katanya, pada 5 September 2018, Selangor meluluskan pindaan, manakala cadangan pindaan had umur perkahwinan bagi Wilayah Persekutuan telah dibentangkan kepada Jawatankuasa Teknikal Syarak Sivil.
“Ahli persidangan Penyelarasan Undang-Undang Syarak Sivil pada November 2019 bersetuju dengan penggubalan tatacara perkahwinan bawah umur dan memasukkannya dalam Kaedah-Kaedah Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk.
“Tetapi ahli persidangan tidak sepakat berhubung cadangan untuk menaikkan had umur minimum perempuan dari 16 kepada 18 tahun.
Namun Mesyuarat Sekretariat Dasar Perundangan Perundangan Syariah Jakim pada 22 September tahun lalu memutuskan untuk meneliti semula cadangan menaikkan had umur minimum 16 kepada 18 tahun.
“Bagaimanapun, jawapan Parlimen Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah memutuskan kerajaan tak akan pinda had umur berkenaan,” katanya. – UTUSAN










