Malaysia tutup sementara kedutaan di Ukraine - Utusan Malaysia

Malaysia tutup sementara kedutaan di Ukraine

Rakyat Malaysia yang berjaya menyelamatkan diri dari Kyiv, Ukraine pada Sabtu lalu, selamat tiba di tanah air hari ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini. -UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Malaysia menutup sementara pejabat kedutaan di Kyiv, Ukraine susulan serangan yang dilakukan oleh Rusia terhadap negara tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pada masa ini seramai 24 rakyat Malaysia di Ukraine yang berdaftar dengan pihak kedutaan juga sudah berjaya keluar dari negara itu.

“Pejabat kita (di Ukraine) ditutup sementara dan tidak ada lagi rakyat yang berdaftar berada di Ukraine. Setakat ini semua yang berdaftar sudah keluar, tak ada lagi yang tinggal dan mereka selamat.

“Kecualilah yang tidak berdaftar, kita tak tahulah,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyambut ketibaan tujuh rakyat Malaysia terdiri daripada empat pegawai, ahli keluarga Kedutaan Besar Malaysia di Kyiv, dua ekspatriat dan seorang pelajar yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 3.06 petang.

Mereka tiba menaiki pesawat Qatar Airways manakala, Perdana Menteri bertemu dengan kesemua rakyat Malaysia tersebut secara tertutup.
Ditanya mengenai sekiranya ada rakyat Malaysia yang tidak berdaftar, Ismail Sabri berkata, mereka diseru untuk untuk menghubungi Pejabat Kedutaan Malaysia di Warsaw, Poland bagi memaklumkan keberadaan mereka.

“Kita sudah berbincang dengan pejabat di Warsaw untuk mereka hubungi kalau ada tiba-tiba timbul isu rakyat Malaysia di Ukraine tak berdaftar dan memerlukan pertolongan,” katanya.
Berhubung Misi Evakuasi dari Ukraine, beliau berkata, daripada 24 rakyat Malaysia yang berdaftar dengan kedutaan, seramai 13 orang sudah keluar dari Ukraine sebelum berlakunya konflik di negara tersebut.

“Terakhir ini seramai 11 orang dan seperti dimaklumkan, mereka keluar melalui jalan darat dari Kyiv menuju sempadan dan selepas itu ke Warsaw, Poland. Daripada 11 orang ini, tujuh pulang hari ini manakala, empat lagi tidak pulang ke Malaysia.

“Dua lagi berada di Poland dan dua lagi di Jerman. Lebih pentingnya ialah mereka semua selamat keluar dari Ukraine. Kita sangat bersyukur kerana walaupun kejadian di Ukraine agak membimbangkan, nyawa dan keselamatan rakyat menjadi keutamaan kerajaan.

“Sebab itu kita melakukan yang terbaik untuk memastikan rakyat Malaysia di Ukraine selamat,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya