JOHOR BAHRU: Lampu hijau sudah diberi kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menarik sokongan terhadap kerajaan negeri Johor namun tindakan tersebut tidak digunakan oleh Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.
Bekas Ahli Dewan Undangan Neger9 (ADUN) Larkin, Datuk Mohd. Izhar Ahmad yang keluar Bersatu pada Sabtu lalu mendakwa, tindakan itu menyebabkannya terpaksa membuat keputusan menangguh keluar daripada parti berkenaan sebelum ini.
Katanya, banyak pihak yang mengkritik keputusannya keluar Bersatu sebenarnya tidak memahami punca sebenar beliau berbuat demikian.
“Saya hanya keluar Bersatu selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubar, kenapa saya buat begitu, kerana saya tunggu ‘butang’ yang tidak ditekan selama ini walaupun sokongan untuk berbuat demikian telah diberi kepada Presiden.
“Saya tidak mampu buat seorang diri apatah lagi amaran telah diberi bahawa DUN akan dibubarkan jika terdapat sesiapa melompat atau bertindak keluar parti yang boleh menggugat kestabilan politik di Johor.
“Sebab itu semua patuh kepada titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. Jadi Bersatu kena terima hakikat dan hormati pandangan akar umbi semua,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Pada 12 Ogos tahun lalu, Sultan Ibrahim mengingatkan wakil rakyat negeri supaya tidak bermain politik dan jika ada pihak yang mahu menjatuhkan kerajaan negeri, baginda tidak teragak-agak untuk membubarkan DUN.
Semasa kempen PRN Melaka, veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad mencabar Bersatu menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad bagi memberi laluan kepada pilihan raya diadakan di negeri ini.
Muhyiddin kemudian membuat kenyataan balas dengan menyifatkan kenyataan Shahrir sebagai ‘kurang bijak’ selain berniat jahat dan menyatakan beliau boleh menekan butang yang boleh menyebabkan kerajaan negeri tumbang.
Sementara itu, baru-baru ini, Ketua Penerangan Bersatu Johor, Mohd. Solihan Badri mendakwa, Mohd. Izhar keluar parti kerana takut kalah dan hilang jawatan Exco serta lantikan Ahli Lembaga Pengarah.
Bagaimanapun, Mohd. Izhar yang menyifatkan kritikan itu amat lemah dan tidak berasas menjelaskan, semua pihak perlu sedar kerana beliau mengumumkan tidak akan bertanding lagi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kelak.
“Apabila saya kata tidak akan bertanding maknanya saya lepaskan semua, jadi bagaimana saya boleh menjadi Exco lagi dan pegang jawatan lembaga pengarah mana-mana syarikat milik kerajaan (GLC) jika bukan lagi ahli politik,” katanya. – UTUSAN ONLINE










