PETALING JAYA: Bekas pegawai bank Goldman Sachs Group Inc., Tim Leissner didakwa menjalinkan hubungan dengan dua lagi wanita Malaysia yang mana salah seorang daripadanya merupakan anak kepada seorang ahli politik.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, menurut sumber, siasatan sedang dilakukan bagi mengetahui sama ada mereka yang terbabit ada menerima wang daripada Leissner atau sebaliknya.
“Difahamkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini dalam peringkat penelitian mengenai dakwaan Leissner juga dikatakan ada menjalinkan hubungan dengan dua wanita Malaysia lain yang mana seorang daripadanya anak kepada seorang ahli politik.
“Siasatan SPRM juga tidak menolak kemungkinan sekiranya terdapat nama-nama lain yang turut menerima dana 1MDB tetapi tidak pernah didedahkan mana-mana pihak.
“SPRM juga sedang meneliti sekiranya ada bukti-bukti baharu,” katanya di sini, semalam.
Sementara itu, sumber itu memberitahu, SPRM telah membekukan kesemua harta termasuk banglo dan akaun bank bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Astro Malaysia Holdings Bhd., Datuk Rohana Rozhan susulan perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Amerika Syarikat (AS).
Katanya, pembekuan aset itu dibuat di bawah Seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLA 2001).
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, keterangan Rohana telah pun diambil SPRM kelmarin susulan pendedahan Leissner dalam perbicaraan kes 1MDB di AS berhubung pemberian sebuah rumah di London.
Menurut laporan tersebut, siasatan itu dilakukan SPRM mengikut mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001.
Terdahulu, perbicaraan kes 1MDB di AS bertukar sensasi selepas Leissner memberi keterangan yang beliau mempunyai hubungan dengan Rohana.
Memetik laporan Bloomberg, ketika ditanya oleh pendakwa, Drew Rolle mengenai hubungan berkenaan, Leissner memetik beberapa nama termasuk Rohana, menjelaskan hubungan itu sudah berlanjutan sejak 2003 hingga 2013.
Kata laporan itu, Leissner turut ditanya sama ada beliau pernah memberikan sejumlah wang diterima daripadanya semasa bekerja dengan 1MDB dan dia mengaku, malah membelikan rumah tersebut pada 2013 kepada Rohana.
Leissner mengaku bersalah pada 2018 kerana terlibat dalam pelanggaran undang-undang antirasuah AS dan konspirasi pengubahan wang.
Mingguan Malaysia sebelum ini juga pernah melaporkan terdapat beberapa nama besar dikenal pasti menerima dana berkaitan skandal 1MDB tetapi perkara itu belum pernah didedahkan mana-mana pihak.
Bagaimanapun, perkara tersebut terdedah apabila SPRM berusaha melakukan pemulihan aset 1MDB sama ada di dalam dan luar negara yang melibatkan beberapa nama besar dan dikaitkan dengan 1MDB semuanya bernilai RM20.5 bilion. – UTUSAN










