KUALA LUMPUR: Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak perlu mengugut UMNO, sebaliknya dicabar menarik sokongan terhadap kerajaan.
Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, biarkan ia tumbang supaya mandat diserahkan kembali kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang lebih stabil.
Katanya, tindakan itu sekali gus dapat mengukuhkan politik dan ekonomi negara.
“Cuba kita lihat, kenapa PRN Johor nak diadakan? Sebab sikap Bersatu inilah. Sekarang di pusat pula mereka mengugut. Selepas mereka (Perikatan Nasional) kalah di Melaka, mereka ugut nak tarik sokongan di Johor. Bila dah ada betul-betul Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor, mereka nak tarik sokongan di pusat pulang terus, tarik sokongan betul-betul.

“Tidak perlu ugut UMNO. Sebab rakyat pun tunggu untuk mendapatkan kerajaan yang lebih stabil. (Tan Sri) Muhyiddin Yassin pun tidak boleh pimpin parti sendiri,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Semalam, Bersatu dan Pas mengingatkan UMNO bahawa sokongan yang diberikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bukanlah dibuat dengan begitu saja, sebaliknya bersyarat.
Dalam perkembangan PRN Johor, Nur Jazlan turut menjelaskan, pertembungan tiga penjuru dalam PRN tersebut bakal menyaksikan kemenangan memihak kepada BN sekali lagi.
“Keputusan PRN Melaka sudah menjadi bukti yang sahih, walaupun ada tiga pertembungan, keputusan tetap berpihak kepada BN. Jika pengundi di Johor berfikir untuk menstabilkan politik dan ekonomi, mereka akan lakukan perkara yang sama seperti rakyat di Melaka dengan memilih BN.
“Muhyiddin sendiri Pengerusi Majlis Pemulihan Ekonomi (MPN), Johor ini kubu kuat dia, tetapi dia sendiri tidak berani bertanding. Di Melaka penuh muka Muhyiddin, di Johor mana dia nak letak muka,” soalnya.
Sementara itu, bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar bersetuju agar Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan pada tahun ini.
Beliau berkata, dalam hal ini mandat perlu diserahkan kepada rakyat supaya kerajaan yang stabil boleh dipilih bagi mentadbir negara untuk tahun berikutnya.
“Kemelut politik ekonomi berlarutan sejak PRU-14. Kita sudah ada tiga Perdana Menteri. Kita sudah tukar tiga kerajaan. Jadi, itu dinamakan kemelut yang menjejaskan kestabilan negara.
“Jadi pada saya, serah balik mandat pada rakyat sebab rakyat sudah merasai 22 bulan di bawah pakatan Harapan, 17 bulan di bawah Tan Sri Muhyiddin, dan sekarang di bawah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob..
“Kerajaan campuran ini boleh jatuh bila-bila masa. Pilihan terbaik adalah ketepikan soal kepentingan peribadi dalam politik dan serah balik mandat kepada rakyat dan berikan peluang kepada mereka untuk memilih kerajaan yang lebih stabil dan kukuh,” katanya.
Mengambil contoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Wan Ahmad turut berkata, ia terpaksa diadakan berikutan ketidakstabilan yang berlaku dalam kerajaan negeri dengan hanya memiliki satu majoriti, sekali gus menjejaskan apa sahaja dasar yang ingin dibuat di dalam negeri tersebut.










