Tandas awam BMW ke-12,000 siap di Little India Ipoh - Utusan Malaysia

Tandas awam BMW ke-12,000 siap di Little India Ipoh

NGA Kor Ming merasmikan tandas awam berkonsepkan bersih, menawan dan wangi di Little India di Ipoh semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Selepas lebih lapan dekad, pengunjung Little India di Jalan Lahat di sini dapat menikmati kemudahan tandas awam berkonsepkan bersih, menawan dan wangi (BMW) selepas prasarana itu siap dibina di kawasan berkenaan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, tandas awam di kawasan tumpuan pelancong itu merupakan tandas ke-12,000 yang dibina dan dinaik taraf di bawah kerajaan Madani.

Katanya, pembinaan tandas dengan peruntukan RM200,000 itu merupakan sebahagian usaha meningkatkan kemudahan awam di kawasan berkenaan, khususnya menjelang sambutan Deepavali yang dijangka menarik kehadiran orang ramai.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ramai tidak tahu bahawa Little India di Ipoh ini telah wujud hampir 100 tahun lalu, namun lebih tujuh hingga lapan dekad tiada tandas awam di kawasan ini.

“Ketika mengadakan lawatan ke sini tahun lalu, saya telah berjanji memperuntukkan RM200,000 untuk membina tandas awam berkonsepkan BMW dan malam ini penantian itu berakhir,” katanya selepas mengadakan Walkabout Bazaar Deepavali @ Little India dan Perasmian Tandas Awam, di sini semalam.

Pada kunjungan tersebut, Kor Ming turut mengumumkan peruntukan KPKT sebanyak RM20,000 kepada Persatuan Peniaga-Peniaga Little India bagi membantu usaha menceriakan kawasan berkenaan.

Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang, kemudahan itu bakal memberi manfaat kepada peniaga dan pengunjung, terutama ketika berlangsungnya persembahan kebudayaan dan muzik selama empat malam berturut-turut dari 3 hingga 6 November ini.

Katanya, penyediaan tandas awam yang bersih dan selesa penting bagi memastikan pengunjung mempunyai kemudahan asas ketika berkunjung ke kawasan berkenaan.

“Kita akan terus meningkatkan dan memperkasakan aspek kebersihan (tandas awam) tambahan lagi semua pihak khususnya persatuan peniaga bertungkus-lumus untuk membawa pelancong masuk ke sini (Little India),” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, KPKT turut merancang memperluas pelaksanaan tandas awam yang dilengkapi pelbagai teknologi pintar dikenali BMWI ke beberapa bandar utama, termasuk Ipoh.

Menurutnya, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sedang mengenal pasti lokasi bersesuaian bagi pembinaan tandas berkenaan yang dilengkapi sistem automatik untuk meningkatkan kebersihan dan keselesaan pengguna.

“Tandas BMWI ini menggunakan teknologi yang membolehkan tindakan diambil terhadap keadaan tertentu termasuk lantai basah dan tahap kebersihan ruang tandas.

“Bagaimanapun, kita akan membina mengikut kemampuan kewangan, tetapi pada masa sama memberi tumpuan kepada usaha menaik taraf tandas sedia ada,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini