Minyak masak peket diseleweng - Utusan Malaysia

Minyak masak peket diseleweng

PENIAGA terpaksa mengehadkan jualan minyak masak peket untuk setiap pelanggan berikutan kekurangan bekalan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Keuntungan lumayan sehingga 150 peratus jika dijual di pasaran gelap dipercayai menjadi punca bekalan minyak masak dalam peket satu kilogram mengalami kekurangan di seluruh negara ketika ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM), Datuk Mohd. Firdaus Abdullah berkata, pemantauan pihaknya mendapati apabila harga minyak sawit mentah berada di bawah RM2,000 satu tan, tidak berlaku isu kekurangan minyak masak peket di pasaran.

Namun, ketika harga minyak sawit mentah naik ke RM5,200 satu tan dan minyak masak pasaran antarabangsa melebihi RM7 sekilogram seperti hari ini, isu kekurangan minyak masak bersubsidi terus menghantui pengguna.

Ini kerana kerajaan menanggung subsidi supaya harga minyak masak peket itu kekal pada RM2.50 sekilogram.

“Perbezaan harga minyak bersubsidi yang besar ini membuka ruang kepada berlakunya ketirisan di peringkat pembungkus dan juga pengedar.

“Setiap bulan kita dimaklumkan bahawa minyak sawit peket cukup untuk kegunaan 32 juta rakyat negara ini, tiba-tiba ketika ini tidak cukup, jadi ke mana pergi minyak sawit peket ini,” katanya.

Justeru, Mohd. Firdaus meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turun padang memantau dan mengawal selia supaya tidak berlaku ketirisan dan penyelewengan di peringkat pembungkus serta pengedar.

Sementara itu, Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, isu kekurangan tidak sepatutnya timbul kerana dianggarkan kira-kira 1.7 hingga 1.8 juta tan minyak sawit terdapat dalam stok.

Katanya, meskipun relatif dan pengeluaran menurun kira-kira 10 peratus berikutan kekurangan tenaga buruh, tetapi itu tidak mendorong bekalan minyak sawit tidak mencukupi.

“Walaupun pengeluaran masih rendah, tetapi mencukupi untuk bekalan tempatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Dalam pada itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, isu kekurangan minyak masak di beberapa lokasi didorong permintaan tinggi berikutan pembukaan sepenuhnya sektor ekonomi.

“Minyak masak paket bersubsidi peket satu kilogram adalah untuk kegunaan rumah sahaja dan bukan untuk kegunaan industri atau peniaga.

“Apabila pembelian dilakukan oleh pihak industri dan peniaga dalam kuantiti yang tinggi, bekalan minyak masak bersubsidi ini terganggu dalam pasaran di beberapa lokasi,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Bagaimanapun, katanya, gangguan bekalan itu bersifat lokaliti dan sementara serta akan pulih tidak lama lagi.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, penduduk di beberapa negeri merungut kerana tidak dapat membeli minyak masak dalam peket satu kilogram walaupun sudah membuat tempahan dan ada yang merayau hingga ke daerah lain.

Peruncit pula mendakwa mereka sudah membuat pesanan untuk menambah stok di kedai tetapi tidak dihantar oleh pemborong. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN