18 projek PR1MA dimajukan semula - Utusan Malaysia

18 projek PR1MA dimajukan semula

Pembinaan lebih banyak rumah PR1MA membantu pemilikan rumah dalam kalangan rakyat berpendapatan rendah. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) akan membangunkan semula 18 projek yang telah atau akan ditamatkan di kawasan-kawasan strategik di seluruh negara di bawah Pelan Transformasi PR1MA bagi menyediakan lebih banyak rumah mampu milik kepada rakyat khususnya golongan M40.

Pada masa sama, seba­nyak 28 projek di bawah 33 fasa melibatkan 21,318 unit sedang dalam pembinaan dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) berjumlah RM5.87 bilion.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Mohd. Nazri Md. Shariff berkata, sasaran siap kesemua projek tersebut adalah antara tahun ini sehingga 2024.

Beliau berkata, Pelan Transformasi PR1MA yang dilancarkan pada 2019 adalah satu usaha mengkaji semula projek-projek sedia ada melalui Pelan Rasionalisasi Projek.

Katanya, ia bagi memastikan projek-projek perumahan PR1MA yang diteruskan adalah berdaya maju dan berkualiti bersesuaian dengan keperluan rakyat.

“Ia bagi mendukung agenda perumahan negara ke arah ‘Malaysia yang Berdaya Huni’ serta menyumbang kepada sasaran kerajaan bagi menyediakan 500,000 rumah mampu milik di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12),” katanya di sini semalam.

Menurut Mohd. Nazri, hasil daripada pelaksanaan Pelan Rasionalisasi Projek yang dijalankan sejak tiga tahun lalu, sebanyak 61 projek yang berdaya maju diteruskan daripada 94 projek yang dikaji semula, manakala 32 projek pula dalam proses penamatan atau telah ditamatkan.

Bagaimanapun, beliau berkata, PR1MA kini dalam kedudukan asas yang kukuh berikutan pelaksanaan Pelan Transformasi itu dan diiktiraf oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dalam laporan akhir jawatankuasa itu yang dikeluarkan pada awal bulan lalu.

Beliau memberitahu, setakat 31 Oktober lalu, PR1MA mempunyai 61 projek melibatkan 73 fasa meliputi keseluruhan 49,401 unit bernilai kira-kira RM13.64 bilion yang dilaksanakan di seluruh negara.

“Ia meliputi sebanyak 25,819 unit telah siap dibina (33 projek, 38 fasa) manakala 21,318 unit (28 projek, 33 fasa) dalam pembinaan selain 2,264 unit masih dalam perancangan melibatkan dua fasa,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd. Nazri berkata, inisiatif pelan transformasi itu membuahkan hasil memberangsangkan apabila penjualan rumah meningkat mendadak dengan lebih 23,000 rumah terjual sejak 2019 sehingga kini iaitu jumlah terbesar bagi pemaju perumahan tunggal.

Katanya, prestasi penjualan yang baik sejak tahun berkenaan berjaya menambah baik kedudukan kewangan PR1MA sekali gus membolehkan perbadanan itu menjalankan pelbagai inisiatif bagi membantu rakyat seperti pakej stimulus yang membantu merancakkan pembinaan di tapak perumahan PR1MA.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, setakat ini, masih terdapat 17 projek sakit melibatkan 7,903 pembeli termasuk projek Residensi Melaka Tengah 2, Melaka dan projek Residensi Port Dickson, Negeri Sembilan apabila pihak kontraktor asal ditamatkan setelah gagal menyiapkan projek dalam jangka masa ditetapkan walaupun diberikan pelan pemulihan.

“Pelantikan kontraktor penyelamat untuk penyambungan projek ini untuk disiapkan dalam tempoh setahun telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan sedang menunggu kelulusan Kementerian Kewangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN