700 pembeli rumah  PR1MA menunggu 7 tahun

700 pembeli rumah  PR1MA menunggu 7 tahun

PEMBELI rumah hadir ke ibu pejabat Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) bagi mendapatkan jawapan tentang projek perumahan yang tertangguh sejak tujuh tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 700 pembeli rumah Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) di Bandar Ekar, Rantau, Negeri Sembilan mendesak projek itu disiapkan segera selepas tertangguh hampir 7 tahun.

Wakil pembeli, Farghani Mohammad, 37 berkata, penangguhan tersebut memberi kesan kepada kewangan pembeli yang terpaksa membayar ansuran bulanan rumah yang tidak boleh didiami.

Menurut beliau, terbaharu pemaju berjanji akan menyiapkan rumah teres tersebut pada akhir September ini tetapi melihat kepada kemajuan pembinaan yang meningkat 0.2 peratus setiap bulan, mereka boleh jangka perumahan itu tidak akan siap.

“Kami tidak sangka jadi begini. Dalam tujuh tahun, komitmen bulanan pembeli sudah bertambah tapi rumah masih belum siap.

“Terbaharu mereka janji rumah siap pada akhir September, tapi kemajuan rumah hanya meningkat sebanyak 0.2 peratus setiap bulan, jadi memang kami boleh jangka PR1MA pasti tukar tarikh lagi,” katanya ketika ditemui pemberita.

Kata beliau, rumah teres itu dimulakan pada 2017 dan mengikut perancangan boleh didiami pada 2019.

Farghani berkata, Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) ketujuh oleh PRIMA yang sepatutnya diterima pembeli juga disekat sejak Oktober tahun lalu.

Katanya, apabila disuarakan, maklum balas yang diberikan pihak pemaju tidak boleh diterima.

“Kali terakhir kami terima LAD keenam iaitu pada Oktober 2023. Selepas itu, sampai sekarang, kami tunggu LAD seterusnya tapi belum dapat.

“Apabila tanya pada pihak PR1MA, mereka beri alasan LAD keenam masih belum selesai diproses untuk diteruskan dengan yang ketujuh. Bagi pihak saya, alasan ini tidak boleh diterima,” katanya.

Sementara  itu, PR1MA dalam kenyataan maklum balas berkata, kemajuan pembangunan setakat 30 Julai sebanyak 96.97 peratus.

Katanya, punca kelewatan disebabkan masalah kontraktor asal sehingga memerlukan pertukaran yang dilakukan pada September 2021.

“Tarikh jangkaan siap dan penyerahan kunci projek ini adalah pada tahun 2024 tertakluk kepada kerjasama dan kelulusan agensi terlibat.

“Pihak PR1MA dan kontraktor tetap komited dalam memastikan projek disiapkan secepat mungkin dalam tahun ini dan akan mematuhi terma dan syarat seperti yang termaktub di dalam perjanjian jual beli bersama pihak pembeli,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN