700 pembeli rumah PR1MA sudah tunggu tujuh tahun

700 pembeli rumah PR1MA sudah tunggu tujuh tahun

SEBAHAGIAN daripada 700 pembeli rumah di bawah Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) di Bandar Ekar, Rantau, Negeri Sembilan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 700 pembeli rumah Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) di Bandar Ekar, Rantau, Negeri Sembilan mendesak projek itu disiapkan segera selepas tertangguh hampir tujuh tahun.

Wakil pembeli, Farghani Mohammad berkata, penangguhan tersebut memberi kesan kepada kewangan pembeli yang terpaksa membayar ansuran bulanan rumah yang tidak boleh diduduki.

Katanya, terbaharu pemaju berjanji menyiapkan rumah teres tersebut akhir bulan depan tetapi melihat kepada kemajuan pembinaan yang hanya mening­kat 0.2 peratus setiap bulan, mereka boleh menjangkakan perumahan itu tidak akan siap.

“Kami tidak sangka jadi begini. Dalam tujuh tahun, komitmen bulanan pembeli sudah bertambah tapi rumah belum siap,” katanya semalam.

Menurut Farghani, projek rumah teres itu dimulakan pada 2017 dan mengikut perancangan ia boleh didiami pada 2019.

Dakwanya, Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) ketujuh oleh PR1MA yang sepatutnya diterima pembeli disekat sejak Oktober tahun lalu.

“Apabila disuarakan, maklum balas yang diberikan pihak pemaju tidak boleh diterima. Kali terakhir kami terima LAD keenam iaitu pada Oktober 2023. Selepas itu, sampai sekarang, kami tunggu LAD sete­rusnya tapi belum dapat.

“Apabila tanya pada pihak PR1MA, mereka beri alasan LAD keenam belum selesai diproses untuk diteruskan dengan yang ketujuh. Aasan ini tidak boleh diterima,” katanya.

Sementara itu, PR1MA dalam kenyataan maklum balas berkata, kemajuan pembangunan setakat 30 Julai lalu adalah seba­nyak 96.97 peratus.

Katanya, punca kelewatan disebabkan masalah kontraktor asal sehingga memerlukan pertukaran yang dilakukan pada September 2021.

“Tarikh jangkaan siap dan penyerahan kunci projek ini adalah pada 2024 tertakluk kepada kerjasama dan kelulusan agensi terlibat.

“PR1MA dan kontraktor tetap komited dalam memastikan projek disiapkan secepat mungkin dalam tahun ini dan mematuhi terma serta syarat seperti yang termaktub dalam perjanjian jual beli bersama pembeli,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN