Syarikat pegangan universiti perlukan pemimpin berwibawa

Syarikat pegangan universiti perlukan pemimpin berwibawa

SYARIKAT pegangan universiti perlu diurus oleh pemimpin yang berpengalaman, berintegriti dan memahami dunia perniagaan serta pendidikan. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KENYATAAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya pengurusan dan tadbir urus UiTM Holdings Sdn. Bhd. diteliti wajar dijadikan titik permulaan untuk menilai semula peranan syarikat pegangan universiti awam di Malaysia.

Isu ini bukan sekadar berkaitan sebuah universiti atau syarikat tetapi melibatkan cara institusi pengajian tinggi mengurus aset, menjana pendapatan dan memastikan kelestarian kewangan. 

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, turut memaklumkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang menyemak dan menyusun semula syarikat pegangan universiti awam secara menyeluruh. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Usaha ini membuka ruang untuk membentuk pengurusan yang lebih profesional dan berkesan.

Universiti mempunyai tanggungjawab mendidik generasi, menghasilkan penyelidikan, membangunkan bakat dan menyumbang kepada kemajuan negara. Keuntungan bukan satu-satunya ukuran kejayaannya. 

Namun, apabila universiti menubuhkan syarikat pegangan, pengurusan perniagaan perlu mematuhi disiplin korporat yang merangkumi kewangan, pelaburan, risiko, pasaran dan pulangan modal.

Universiti tidak perlu berubah menjadi syarikat komersial, tetapi entiti perniagaan miliknya mesti diurus secara profesional. Pengurusan yang baik juga perlu memastikan aktiviti komersial tidak menjejaskan misi akademik atau reputasi institusi.

Setiap universiti mempunyai kepakaran dan kelebihan tersendiri. Institusi yang menonjol dalam pertanian boleh meneroka teknologi makanan dan bioteknologi, manakala universiti berasaskan kejuruteraan berpotensi mengembangkan inovasi, pemindahan teknologi dan khidmat perundingan. 

Institusi yang kuat dalam pendidikan pula boleh menawarkan latihan profesional serta pendidikan sepanjang hayat.

Oleh itu, strategi perniagaan perlu dibina berdasarkan kepakaran masing-masing, bukannya menggunakan satu pendekatan untuk semua. Persoalan utama bukan sekadar bagaimana universiti memperoleh pendapatan tetapi bagaimana ilmu dan kepakaran yang dimiliki dapat menghasilkan nilai ekonomi kepada masyarakat.

Syarikat pegangan universiti memerlukan pemimpin teknokrat yang memahami ekonomi pendidikan dan dunia perniagaan. Mereka perlu mampu menghubungkan kepakaran akademik dengan peluang pasaran, selain menilai risiko dan memastikan setiap pelaburan mempunyai tujuan yang jelas.

Tidak semua peluang yang menjanjikan keuntungan sesuai diterokai. Sebelum membuat keputusan, pengurusan perlu menilai kesesuaiannya dengan kepakaran, identiti dan hala tuju universiti.

Reputasi institusi yang dibina selama puluhan tahun juga perlu dilindungi kerana nama universiti merupakan aset yang bernilai.

Pada masa sama, kerugian perniagaan tidak semestinya membuktikan berlakunya salah laku. Penilaian perlu meneliti asas keputusan, pengurusan risiko dan proses pemantauan. Jika terdapat bukti pelanggaran tadbir urus atau penyalahgunaan kuasa, tindakan sewajarnya perlu diambil.

Lembaga pengarah juga mesti mempunyai kepakaran dalam kewangan, pelaburan, undang-undang, industri dan pengurusan risiko. Mereka bertanggungjawab memastikan setiap keputusan dibuat berdasarkan pertimbangan yang teliti, disokong maklumat yang mencukupi serta selaras dengan kepentingan universiti.

Syarikat pegangan tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai saluran menjana wang. Sebaliknya, entiti ini perlu menjadi penghubung antara ilmu, industri dan ekonomi melalui pengkomersialan hasil penyelidikan, pengurusan harta intelek, penubuhan syarikat terbitan serta kerjasama dengan pihak industri.

Semakan KPT perlu dimanfaatkan untuk membentuk model pengurusan yang lebih sesuai dengan kekuatan setiap universiti. Kejayaan bukan hanya diukur berdasarkan keuntungan, tetapi juga keupayaan mengurus aset, membangunkan kepakaran dan menghasilkan manfaat jangka panjang.

Universiti memerlukan pemimpin yang mengutamakan ilmu, manakala syarikat pegangan memerlukan pemimpin teknokrat yang cekap dan berintegriti. 

Dengan tadbir urus yang kukuh serta strategi yang sesuai, kedua-duanya dapat bekerjasama memastikan sumber universiti diurus dengan baik demi kemajuan institusi, masyarakat dan negara. -UTUSAN

 

PROFESOR DR. ISMI ARIF ISMAIL

Profesor, Fakulti Pengajian Pendidikan, 

Universiti Putra Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini