MELAKA: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang antara kerusi panas yang bakal menarik perhatian ramai dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.
Andai penyandangnya, Datuk Seri Idris Haron kekal bertanding di situ, Barisan Nasional (BN) dan UMNO perlu memastikan kerusi itu tidak terlepas kepada Idris.
Namun, Idris ketika memaklumkan kepada Utusan Malaysia berkata, beliau tidak akan mempertahankan kerusi Sungai Udang.
Sumber dalaman UMNO memaklumkan, pertembungan antara dua calon heavyweight politik Melaka iaitu Idris dan Mohamad Ali hampir pasti tidak akan berlaku di kerusi tersebut.
Majoriti pemerhati politik tempatan percaya, BN akan mengetengahkan calon anak tempatan yang dikenali masyarakat bagi meminimumkan sebarang kemungkinan.
Antara nama yang disebut-disebut ialah Pengerusi Penyelaras DUN Sungai Udang, Shahrin Muharam, 51.
Shahrin yang juga seorang ahli perniagaan berkelulusan Ijazah Kejuruteraan Kimia dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bakal menjadi pertaruhan besar buat UMNO, selaku muka baharu dalam arena pilihan raya.
Biarpun belum ada sebarang keputusan daripada pucuk pimpinan tertinggi parti, namun nama Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Tangga Batu kini hangat diperkatakan masyarakat.
Jumlah pengundi kerusi tersebut adalah seramai 23,054 orang dengan 79.4 peratus adalah Melayu, Cina (7.8 peratus), India (2.6 peratus) dan lain-lain (10.2 peratus). Pengundi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pula adalah seramai 9,748 orang.
Pemerhati politik meramalkan, sama ada BN dan PN bergabung atau tidak, berkemungkinan besar kerusi DUN Sungai Udang bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru.
Pakatan Harapan (PH) dikatakan bakal mempertaruhkan Pengerusi Penyelaras PKR Sungai Udang, Isa Zulkifli.
Setakat ini, beberapa pihak lain seperti veteran ATM juga didakwa akan bertanding, selain seorang atas tiket Bebas.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Idris yang juga Ketua Menteri ketika itu menang dengan majoriti 2,229 menewaskan calon PH, Mohd. Lokman Abdul Ghani. -UTUSAN










