Imej PN lebih bersih – Rahim - Utusan Malaysia

Imej PN lebih bersih – Rahim

IMEJ Barisan Nasional (BN) yang mentadbir negara selama 60 tahun dikatakan sudah rosak ekoran beberapa kes rasuah yang membabitkan pemimpin parti itu di pelbagai peringkat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Perjuangan yang to­leran dan tidak dihimpit de­ngan skandal besar menjadikan Perikatan Nasional (PN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai pilihan utama pe­ngundi Melayu berbanding UMNO dalam Pilihan Raya Ne­geri (PRN) Melaka.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, bekas Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik berpandangan, PN memiliki imej lebih baik berbanding Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, Bersatu yang merupakan bersama Pas dilihat tidak menjadi ‘budak suruhan’ mana-mana parti yang tidak selari de­ngan kepentingan orang Me­layu dan Islam.

“Rakyat mempunyai kewarasan untuk memilih parti mana yang terbaik bagi mene­rajui penggal akan datang yang dapat membela dan melindungi kepentingan orang Melayu.

“UMNO yang telah membuktikan kemampuan untuk mentadbir dan menerajui kepentingan orang Melayu selama 60 tahun kini penuh dengan budaya ra­suah selain banyak berlaku kes di peringkat Pusat.

“Krisis di Melaka juga berpunca daripada pendedahan pe­mimpin UMNO sendiri kerana ada pemimpin kerajaan didakwa membolot segala harta untuk diagihkan kepada keluarga dan rakan-rakan mereka. Tindakan sedemikian telah mengkhianati mandat yang diberikan rakyat,” katanya ketika dihubungi.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan berkuat kuasa 4 Oktober lalu, selepas kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali tumbang ekoran penarikan sokongan empat ahli Dewan Undangan Ne­geri (ADUN) kerajaan.

Mengulas lanjut, Abdul Rahim berkata, beliau tidak menolak ketidaksepakatan antara BN dan PN dalam mencari formula kebersamaan hanya akan memberi ruang kepada PH untuk mentadbir negeri semula.

Bagaimanapun, katanya, orang Melayu tetap akan memikirkan sedalam-dalamnya sebelum mengundi PH seperti Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“PH hanya didominasi oleh satu parti iaitu DAP dan pemim­pin-pemimpin Melayu dalam komponen ini bertindak sebagai orang suruhan saja. Ini terbukti selama 22 bulan pemerintahan PH, dasar-dasar pentadbiran negara termasuk kewangan dibuat oleh DAP.

“Pemimpin Melayu PH tidak boleh perjuangkan kepentingan Melayu kerana majoriti ahli Parlimen adalah bukan Melayu. Jadi mereka terpaksa mengikut arahan bukan Melayu untuk mentadbir negara,” jelasnya.

Sementara itu, mengenai pertandingan tiga penjuru melibatkan BN, PN dan PH, Abdul Rahim menjelaskan, PRN Me­laka dilihat sebagai medan eksperimen parti-parti politik yang bertanding sebelum PRU-15.

“Rakyat akan menentukan dan membuat keputusan terbaik untuk memilih parti serta perso­naliti yang pada hemat mereka dapat mempertahankan kepen­tingan orang-orang Melayu. Da­lam konteks ini banyak pihak meramalkan tiada parti yang akan mendapat majoriti.

“Saya yakin rakyat mempunyai persepsi ingin menolak mana-mana parti yang telah menyebabkan kacau bilau dan ketidakstabilan bagi memilih parti yang stabil dan berintegriti untuk memimpin,” tegasnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×