PETALING JAYA: ‘Jajaran politik baharu’ kerajaan negeri Melaka mungkin boleh dibentuk antara Barisan Nasional (BN) dengan Perikatan Nasional (PN) selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Keadaan itu tidak dinafikan berlaku ketika masih tiada sebarang petanda kedua-dua gabungan berkenaan akan bekerjasama dalam berdepan pilihan raya negeri sekali gus menewaskan Pakatan Harapan (PH).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abd. Muis berkata, hal tersebut setelah mempertimbangkan semua parti termasuk pembangkang tidak akan mendapat undi majoriti jauh sekali mendapat undi dua per tiga membentuk kerajaan negeri.
Justeru, sama ada BN dan PN akan membawa haluan masing-masing dalam usaha merebut 28 kerusi DUN di negeri itu, katanya, kedua-dua parti akhirnya terpaksa mencapai kesefahaman dan jalinan kerjasama sekali lagi.
“Tiada masalah pun jika tiada kata sepakat antara BN dan PN walaupun menyedari pola undian orang Melayu akan berpecah kerana wujud pertembungan tiga penjuru.
“Yang penting adalah sesebuah parti mempunyai bilangan yang cukup atau ada majoriti sebab saya tidak melihat terdapat kecenderungan UMNO bergabung dengan DAP walau kerajaan dan pembangkang telah memeterai perjanjian kesefahaman (MoU) sebelum ini,” katanya ketika dihubungi semalam.
Pensyarah Jabatan Sosio Budaya dan Kesenian Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi pula berkata, BN boleh membentuk kerajaan perpaduan dengan Pakatan (PH) melalui Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA).
Katanya, keadaan itu hanya akan berlaku jika kedua-dua pihak masih gagal mendapat majoriti selepas keputusan pilihan raya atau bertekad enggan bekerjasama dengan Bersatu.
“Apa-apa pun yang berlaku adalah tertakluk kepada keputusan selepas pilihan raya, jika ada parti yang dominan mereka takkan lagi bekerjasama, cuma kalau tidak cukup, kerajaan perpaduan dijadikan sebagai pilihan terakhir. Saya juga berpandangan sudah tentu Yang Dipertua Negeri Melaka juga mahukan sistem politik negeri yang stabil,” katanya.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan BN dan PN perlu menggunakan kaedah rundingan inklusif jika tidak mahu melihat Ketua Menteri kedua PH mengangkat sumpah.
Ini kerana 11 kerusi DUN yang kini disandang wakil rakyat PH tidak akan sesekali bolos, ditambah pula dengan empat lagi kerusi kem bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron. -UTUSAN










