Asingkan guru belum vaksin - Utusan Malaysia

Asingkan guru belum vaksin

JAME ALIP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Pengasingan guru dan pelajar yang tidak divaksin perlu dilakukan di sekolah bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 apabila sesi pembe­lajaran bersemuka bermula kelak.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Jame Alip berkata, pengasingan itu perlu bagi pelajar yang mungkin mempunyai risiko kesihatan dan tidak boleh divaksin.

Namun, bagi guru pula, kerajaan seharusnya mewajibkan semua guru divaksin kerana peranan utama guru itu sendiri adalah mendidik pelajar.

“Jika guru bertindak bertenta­ngan dengan dasar kerajaan da­lam pemberian vaksin Covid-19, bagaimana ibu bapa hendak meletak kepercayaan kepada guru untuk mendidik anak-anak mereka.

“Satu cara untuk meyakinkan pelajar adalah guru sendiri perlu percaya bahawa program vaksinasi kerajaan adalah selamat dan mampu mencegah jangkitan Covid-19 yang lebih teruk.

“Untuk guru-guru yang anti­vaksin pula, mereka selaku penjawat awam seolah-olah anti kepada dasar kerajaan maka, kementerian boleh memberi nasihat, amaran dan kaunseling kepada mereka. Sekiranya guru masih bertegas dan terus menyebarkan fahaman antivaksin, tindakan tatatertib harus diambil,” katanya.

Jame berkata, prestasi pem­be­lajaran anak-anak sudah cu­kup terjejas berikutan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Ru­mah (PdPR) dan sekiranya guru masih bertindak mementingkan diri, lagi lambat sesi pembelajaran bersemuka akan bermula.

Menurut beliau, sistem pendidikan sedia ada perlu lebih fleksibel dalam melanjutkan sesi persekolahan kerana falsafah pendidikan juga menegaskan usaha melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, rohani, emosi dan intelektual (JARI).

Sebenarnya tiada keperluan mempercepatkan kenaikan pelajar ke tahap seterusnya sekiranya mereka masih belum memahami sepenuhnya pem­belajaran pada tahap sedia ada.

Dalam pada itu, beliau juga melihat keperluan mengaktifkan semula radio pendidikan yang dahulunya disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) bagi membolehkan pembelajaran sam­pai kepada pelajar di pedalaman. Siaran radio pendidikan ini ditamatkan pada 2008.

Jelas beliau, radio tidak memerlukan saluran internet dan ia lebih mudah diakses terutama pelajar di pedalaman yang tidak mempunyai capaian internet yang baik. Ini antara pilihan yang sepatutnya dilaksanakan semasa sesi PdPR bermula.

Di peringkat Kementerian Pendidikan pula, sudah tiba masa untuk mendedahkan guru-guru dengan teknologi pembelajaran yang baharu kerana semasa PdPR, tidak semua guru tahu cara penggunaan aplikasi dalam talian kerana tiada pendedahan mengenainya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN