Usah persiakan peluang kedua - Utusan Malaysia

Usah persiakan peluang kedua

YANG di-Pertuan, Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan bergambar bersama Jemaah Menteri pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Menteri dan Timbalan Menteri Persekutuan di Istana Negara, semalam. - IHSAN ISTANA NEGARA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Semua anggota Kabinet yang mengangkat sumpah semalam tidak boleh mengambil masa panjang untuk membiasakan diri dengan tugas, sebaliknya terus fokus menyelesaikan segala permasalahan yang sedang me­landa negara.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang Pengajian Kerajaan dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, tidak kira sama ada portfolio mereka berkait langsung dengan usaha menangani pandemik Covid-19 atau tidak, semua anggota Kabinet perlu terus menunjukkan komitmen menyelesaikan setiap tugasan supaya petunjuk prestasi utama (KPI) mereka tercapai dalam tempoh 100 hari.

Katanya, lebih-lebih lagi menteri dan timbalan menteri yang tidak berubah portfolio atau dikekalkan dengan portfolio berbeza, mereka seharusnya tiada masalah untuk menyesuaikan diri dan meletakkan sasaran KPI kepada setiap jabatan atau bahagian di bawah mereka untuk dipenuhi.

“Perlu diingat ini adalah peluang kedua untuk kerajaan ini membuktikan diri, oleh itu pastilah seluruh rakyat mempu­nyai jangkaan yang lebih tinggi terhadap prestasi mereka kali ini,” katanya di sini semalam.

Terdahulu, seramai 30 menteri dan 37 timbalan menteri selesai mengangkat sumpah dalam istiadat di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Istana Negara.

Hanya dua orang tidak dapat hadir iaitu Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar dan Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mohamad Alamin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga tidak dapat hadir selepas terpaksa menjalani kuarantin kendiri setelah disahkan kontak rapat pesakit Covid-19.

Ismail Sabri telah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kesembilan pada 20 Ogos lalu, setelah menerima soko­ngan daripada 114 Ahli Parlimen.

Menurut Kamarul Zaman, selaras dengan kewujudan sebahagian besar muka lama dalam Kabinet ini, tiada ruang untuk mereka berleka dan tiada tempoh bulan madu kali ini kerana masa yang ada terlalu singkat bagi mereka membuktikan prestasi.

Beliau menjelaskan, walaupun Perdana Menteri kelihatan seorang yang mesra dan pe­ramah, adalah dijangkakan beliau tidak akan berkompromi dalam soal pencapaian pres­tasi dan rombakan Kabinet boleh sahaja berlaku selepas tempoh 100 hari.

Apatah lagi katanya, apabila difikirkan bahawa jangka hayat kerajaan ini tidak akan bertahan lama kerana pilihan raya umum dijangka dilangsungkan sebaik sahaja imuniti kelompok sudah tercapai dan Co­vid-19 sudah reda, maka unsur ketergesaan (sense of urgency) itu perlu diwujudkan.

“Ini kerana peluang setiap parti untuk menang dalam pilihan raya umum nanti bergantung kepada sejauh manakah mereka dapat menunjukkan keberkesanan dan kerjasama di dalam menangani pandemik Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN