Jangan mendahului PM umum gaji minimum baharu – Ramanan

Jangan mendahului PM umum gaji minimum baharu – Ramanan

RAMANAN Ramakrishnan semesa ditemui pemberita selepas menerima darjah kebesaran Seri Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (SJMK) sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V Yang Ke-57 tahun 2026 di Istana Balai Besar, Kota Bharu, Kelantan hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kementerian Sumber Manusia menegaskan, sebarang angka kenaikan gaji minimum termasuk RM2,000, RM2,100 atau RM2,200 yang diperkatakan pihak tertentu ketika ini tidak boleh dianggap sebagai keputusan kerajaan kerana perkara itu belum mendapat persetujuan Kabinet.

Menterinya, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, memorandum Jemaah Menteri bagi menentukan kadar gaji minimum baharu hanya akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet akan datang untuk mendapatkan kelulusan serta persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, pihak luar tidak sepatutnya mendahului pengumuman Perdana Menteri dengan menghebahkan angka tertentu sedangkan keputusan mengenai kadar gaji minimum baharu masih belum dimuktamadkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya lihat ramai di luar sana melompat-lompat hendak umum RM2,000, RM2,100 dan RM2,200. Tunggulah Yang Amat Berhormat Perdana Menteri umum kerana keputusan itu masih belum diambil.

“Kertas pertimbangan dan memorandum Jemaah Menteri untuk mendapatkan kelulusan berhubung kadar gaji minimum baru hendak dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet akan datang,” katanya kepada pemberita selepas menerima darjah kebesaran Seri Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (SJMK) sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V Yang Ke-57 tahun 2026 di Istana Balai Besar di sini hari ini.

Ramanan memberitahu, beliau berkongsi hasrat Perdana Menteri untuk meningkatkan gaji pekerja sebanyak mungkin, namun sebarang kenaikan perlu dibuat berdasarkan kajian menyeluruh bagi mengelakkan kesan negatif terhadap ekonomi negara.

Katanya, walaupun terdapat kesatuan sekerja dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mencadangkan gaji minimum dinaikkan sehingga RM3,000 atau RM4,000, penetapan kadar baharu tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya.

“Kita mempunyai formula dalam pengiraan gaji minimum. Bukan seorang yang membuat keputusan, sebaliknya ada kumpulan besar terdiri daripada profesor, pemegang ijazah doktor falsafah (PhD) dan Profesor Emeritus.

“Mereka perlu menjalankan kajian impak terlebih dahulu kerana kenaikan sebanyak RM10 sekalipun mempunyai kesan yang perlu difahami,” ujarnya.

Ramanan berkata,kajian berkenaan penting bagi menentukan kadar kenaikan yang boleh dilaksanakan tanpa menjejaskan ekonomi negara, selain mengambil kira keperluan mengawal inflasi.

“Kalau gaji dinaikkan terlalu tinggi tetapi inflasi juga meningkat tinggi, apa bezanya? Jadi, semuanya perlu dilakukan dengan betul,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ramanan berkata, kerajaan menyediakan sebanyak 400,000 peluang pekerjaan menerusi portal MYFutureJobs dibawah seliaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada pekerja yang mungkin terkesan susulan konflik di Selat Hormuz.

Beliau berkata, walaupun kesan konflik itu terhadap sektor pekerjaan negara setakat ini masih minima, kerajaan sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk mereka yang akan kehilangan pekerjaan.

“Memang (konflik Selat Hormuz) ada kesannya tetapi masih minimum. Namun, kita perlu bersedia dengan apa yang akan datang dan kerajaan sedang mengambil langkah yang perlu terhadap pekerja yang mungkin kehilangan pekerjaan atau tidak disambung perkhidmatan.

“Kita mempunyai Perkeso untuk menyediakan bantuan kepada mereka dan sementara menunggu pekerjaan baharu, mereka boleh melayari portal MYFutureJobs bagi mendapatkan pekerjaan yang sesuai atau lebih baik daripada pekerjaan sebelum ini,” ujarnya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×