LONDON: Kerajaan Perdana Menteri United Kingdom (UK) Keir Starmer semalam berada dalam keadaan huru-hara selepas barisan menteri Kabinet dan puluhan Ahli Parlimen daripada Parti Buruh mendesak beliau untuk meletakkan jawatan.
Mutu kepimpinan Starmer, 63, kini dianggap berada di tahap terendah apabila ucapan terakhir beliau gagal meredakan pemberontakan yang semakin memuncak dalam parti.
Delegasi menteri kanan dilaporkan telah ke pejabat perdana menteri di No. 10 Downing Street, London untuk memaklumkan kepada Starmer bahawa tempoh perkhidmatannya sudah berakhir.
Antara tokoh utama yang dikatakan mendesak beliau berundur termasuk Setiausaha Dalam Negeri, Shabana Mahmood; Setiausaha Luar, Yvette Cooper dan Setiausaha Pertahanan, John Healey.
Krisis ini dijangka akan memuncak dalam mesyuarat Kabinet pada Selasa jika Starmer terus enggan berganjak. Sumber dalaman menyifatkan situasi ini sebagai pergerakan kumpulan yang tidak lagi dapat dihalang.
Starmer memberi amaran bahawa pemilihan kepimpinan baharu pada ambang ucapan Raja England akan menjerumuskan kerajaan dan Britain ke dalam kancah kekacauan.
Beberapa tokoh utama termasuk Setiausaha Kesihatan, Wes Streeting dan Datuk Bandar Greater Manchester, Andy Burnham dilaporkan telah mula meraih sokongan secara peribadi daripada penyokong masing-masing.
Dalam ucapan pertamanya sebagai perdana menteri daripada parti Buruh pada 5 Julai 2024, Starmer berjanji untuk membentuk sebuah kerajaan yang berkhidmat kepada rakyat selepas 14 tahun pemerintahan parti Konservatif. Parti Konservatif itu menghadapi pertelingkahan dalaman menyebabkannya Buruh menang besar dalam pilihan raya umum..
Namun, selepas menjadi perdana menteri, beliau bergelut untuk menjadi pemimpin yang stabil manakala kekurangan ideologi dan karisma menyebabkan beliau sukar meyakinkan rakyat mengenai hala tuju negara di bawah kepimpinannya.
Pasaran kewangan dilaporkan mulai bimbang dengan prospek pemilihan kepimpinan baharu yang mungkin membawa parti Buruh ke arah haluan kiri yang lebih radikal, sehingga meningkatkan kos pinjaman kerajaan.
Sehingga kini, seramai 79 Ahli Parlimen telah menuntut Starmer menetapkan jadual peletakan jawatan beliau secara rasmi. Tekanan semakin meruncing apabila empat pembantu menteri meletak jawatan kerana hilang kepercayaan terhadap keupayaan perdana menteri untuk memulihkan keadaan.
Sementara itu, dalam ucapan penting pada Isnin, Starmer mengaku kekecewaan rakyat terhadap keadaan negara, politik dan kepimpinannya.
“Saya tahu ada yang meragui saya dan saya tahu saya perlu membuktikan mereka salah serta saya akan lakukannya,” katanya. – AGENSI/AFP










