PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh mempertimbang tempoh pengundian selama beberapa hari untuk melaksanakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sekiranya pandemik Covid-19 masih belum reda.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik, Datuk Dr. Ahmad Faris Abdul Halim berkata, ia adalah jawapan kepada penamat gelora politik di Malaysia ketika ini.
Beliau memberitahu, Singapura dan Korea Selatan sudah melangsungkan pilihan raya mereka tahun lepas semasa pandemik Covid-19 melanda dengan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
“Ini kerana sekalipun dibentuk kerajaan `rentas parti’ atau apa sahaja istilahnya dengan kedudukan majoriti tipis atau hakikat sebenar ‘kerajaan minoriti’, politik negara dipercayai akan terus bergolak lagi.
“Justeru, boleh difikirkan proses pengundian pilihan raya umum selama beberapa hari. Bukankah pilihan raya negeri pertama Sarawak pada 1969 dilangsungkan selama empat minggu secara berperingkat dari Sabtu, 10 Mei ke Sabtu, 7 Jun tahun berkenaan?
“Dalam sehari contohnya, dibenarkan kira-kira 500 keluar mengundi di satu-satu kawasan. Buat selama empat atau lima hari, dengan kawalan ketat di banyak saluran,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam aspek itu juga, kata Ahmad Faris, masyarakat mungkin sukar hendak menerima masa mengundi lebih dari sehari.
“Selain itu, isu-isu berkisar fitnah yang akan bertebaran, macam mana hendak simpan peti undi, sabotaj kertas undi dan lain-lain.
“Dalam hal ini, SPR boleh membuat keputusan penetapan jumlah hari atau tempoh waktu untuk buang undi berdasarkan keperluan dan situasi semasa. Ini bagi memastikan proses pilihan raya dilaksanakan dengan telus dan selamat,” katanya. – UTUSAN










