Masalah kesihatan tidak halang pengundi tunaikan tanggungjawab

Masalah kesihatan tidak halang pengundi tunaikan tanggungjawab

ABD Karim yang berkerusi roda hadir menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di Sekolah Kebangsaan Sungai Sayong hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Semangat Abd. Karim Taha untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi tidak pernah luntur walaupun kehilangan kaki kiri akibat komplikasi kencing manis tujuh tahun lalu.

Malah, dia yang merupakan bekas pemandu lori dari Felda Sungai Sayong itu sanggup bangun seawal pukul 5 pagi sebelum hadir ke pusat mengundi bersama tiga anaknya, Nor Alia Maisarah, Nor Kamalia Amira serta Abdul Luqman Hakim yang masing-masing berusia 23, 25 dan 28 tahun.

Dia juga sanggup mengambil risiko dengan menghentikan sementara rawatan perubatan Islam selama tiga hari semata-mata mahu memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Malam tadi pun saya tidak lena kerana tidak sabar hendak mengundi hari ini.

“Alhamdulillah proses undi berjalan lancar, malah sebaik keluar dari kereta saja, terus ada petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sambut dan bantu,” katanya yang ditemui selepas membuang undi di Sekolah Kebangsaan (SK) LKTP Sungai Sayong di sini, hari ini.

Pada PRN Johor kali ini, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Raja menyaksikan persaingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Adham Baba,
Mohd Fakharuddin Moslim mewakili Pakatan Harapan (PH) dan calon Perikatan Nasional (PN), Yuhanita Yunan.

Pada PRN Johor 2022, DUN Pasir Raja dimenangi calon BN, Rashidah Ismail, dengan majoriti 4,888 selepas menewaskan calon PN, Intan Jawahir (4,493 undi); calon PH, Mohd Fakharuddin Moslim (1,976 undi) serta calon Gerakan Tanah Air (GTA), Mohd Yusri Yusof (265 undi).

Dalam pada itu, Abd Karim yang kehilangan kaki kirinya pada 2019 akibat kencing manis berkata, setiap kali pilihan raya, dia tetap berusaha hadir kerana percaya rakyat mempunyai kuasa memilih pemimpin yang mampu menjaga kebajikan mereka.

“Saya bangga jadi rakyat Johor. Kita boleh pilih parti yang betul-betul hendak jaga kita,” katanya.

Namun, Abd Karim tidak dapat menahan sebak apabila terkenangkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Saya selalu doa supaya dia bebas. Itu saja harapan saya. Bukan sebab parti, tetapi saya rasa banyak jasa beliau kepada FELDA dan rakyat. Sampai sekarang kalau tengok video dia, saya menangis,” ujarnya.

Abd Karim turut mencuri perhatian apabila mengenakan tanjak bercorak Jalur Gemilang yang disifatkannya sebagai lambang kebanggaan terhadap bangsa dan negeri.

Sementara itu, bagi bekas guru sekolah rendah, Md Yunan Abdul Majid, 61, peluang kembali mengundi selepas pulih daripada strok menjadi detik cukup bermakna.

Katanya, dia diserang strok pada 2021 sehingga terlantar selama lima bulan serta mengalami kesukaran bertutur dan bergerak.

“Pada PRN Johor 2022, saya tidak dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi kerana masih dalam proses pemulihan.

“Sekarang Alhamdulillah sudah sembuh dan dapat mengundi semula selepas menjalani fisioterapi dan rawatan susulan secara berterusan.

“Saya rasa seronok dan lega sangat kerana akhirnya dapat tunaikan tanggungjawab mengundi,” katanya.

Md Yunan yang ditemani menantunya, Afiq Aiman Rahmat, 27, turut menzahirkan penghargaan kepada petugas SPR yang banyak memudahkannya sepanjang proses pengundian hari ini.

Pada PRN Johor kali ini, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Raja menyaksikan persaingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Adham Baba,
Mohd Fakharuddin Moslim mewakili Pakatan Harapan (PH) dan calon Perikatan Nasional (PN), Yuhanita Yunan.

Pada PRN Johor 2022, DUN Pasir Raja dimenangi calon BN, Rashidah Ismail, dengan majoriti 4,888 selepas menewaskan calon PN, Intan Jawahir (4,493 undi); calon PH, Mohd Fakharuddin Moslim (1,976 undi) serta calon Gerakan Tanah Air (GTA), Mohd Yusri Yusof (265 undi). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN