PILIHAN raya bukan hanya dinilai melalui keputusan di peti undi, tetapi juga melalui cara proses demokrasi dikendalikan ketika mandat dipulangkan kepada rakyat.
Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kini telah selesai. Namun, satu kejadian pada hari mengundi menimbulkan persoalan yang lebih asas: Apakah remedi yang tersedia apabila seorang pengundi berdaftar hadir untuk mengundi, tetapi rekod menunjukkan bahawa kertas undi telah dikeluarkan atas namanya sedangkan beliau menegaskan bahawa beliau belum pernah mengundi dalam pilihan raya tersebut?
Dalam sebuah saluran mengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas, seorang pengundi hadir dengan MyKad di tangan. Namanya tersenarai sebagai pemilih dan jarinya tidak mempunyai kesan dakwat kekal.
Namun semakan menunjukkan nama dan nombornya dalam daftar pemilih telah ditandakan seolah-olah kertas undi telah pun dikeluarkan.
Pengundi itu menegaskan bahawa beliau belum mengundi. Beliau membuat laporan polis, kembali ke pusat mengundi dan melengkapkan Borang 11 bagi mengesahkan identitinya serta menegaskan bahawa beliau belum pernah mengundi.
Perkara itu turut dirujuk kepada Pegawai Pengurus. Namun kertas undi masih tidak dapat dikeluarkan berdasarkan prosedur yang berkuat kuasa.
Persoalannya, adakah sistem sedia ada menyediakan remedi yang mencukupi apabila seorang pengundi berdaftar menafikan bahawa beliau telah mengundi?
Hak mengundi
John Locke berpandangan bahawa kuasa kerajaan ialah suatu amanah yang lahir daripada persetujuan rakyat.
Dalam demokrasi, mengundi ialah antara cara paling langsung rakyat menentukan siapa yang akan menggunakan kuasa bagi pihak mereka.
Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan menetapkan kelayakan seseorang sebagai pemilih.
Namun pengiktirafan hak itu belum mencukupi jika prosedur pada hari mengundi tidak menyediakan jalan penyelesaian apabila berlaku ketidakpadanan antara identiti pengundi dengan rekod pengeluaran kertas undi.
Mengapa kertas undi tidak boleh terus dikeluarkan? Jawapannya terletak pada subperaturan 19A(2) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981.
Peruntukan ini menghendaki Ketua Tempat Mengundi enggan mengeluarkan kertas undi apabila nombor dan nama pengundi dalam daftar pemilih telah ditandakan sebagai sudah menerima kertas undi walaupun jari telunjuk kirinya tidak mempunyai kesan dakwat kekal.
Perkataan “hendaklah” dalam peruntukan ini menunjukkan bahawa Ketua Tempat Mengundi tidak mempunyai budi bicara untuk mengeluarkan satu lagi kertas undi apabila situasi ini berlaku.
Isu ini, oleh itu, tidak wajar dibingkaikan seolah-olah pegawai pilihan raya sengaja menghalang pengundi; mereka sebaliknya mematuhi peraturan yang bersifat mandatori.
Peraturan 20 pula membenarkan Ketua Tempat Mengundi meminta seseorang mengesahkan identiti dan menandatangani akuan melalui Borang 11.
Tetapi peraturan itu tidak menyatakan bahawa selepas Borang 11 ini ditandatangani, subperaturan 19A(2) boleh diketepikan.
Ringkasnya, Borang 11 hanya merekodkan akuan pengundi namun ia tidak memulihkan peluangnya untuk mengundi. Di sinilah wujud jurang prosedur.
Sistem sedia ada menyediakan mekanisme untuk menghalang pengundian berganda dan merekodkan penolakan, tetapi belum menyediakan mekanisme bagi memelihara undi seseorang sementara pertikaian rekod itu disemak.
Oleh sebab itu, Malaysia perlu memikirkan kaedah bagaimana untuk mengatasi masalah yang berlaku, yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap proses pilihan raya.
Proses mengundi di luar negara
Insiden seperti ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang baharu di Malaysia. Dalam PRU14, Bersih 2.0 dan gabungan pemantau pilihan raya, Pemantau, masing-masing merekodkan aduan daripada pengundi yang mendakwa mereka tidak dapat mengundi kerana nama mereka telah digunakan oleh individu lain.
Dalam PRN 2023 pula, beberapa laporan polis dibuat di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor selepas pengundi dimaklumkan bahawa mereka telah direkodkan sebagai telah mengundi.
Malah semasa PRN Johor 2026, dakwaan yang hampir sama turut dilaporkan di sebuah kawasan DUN lain.
Walaupun setiap kejadian mempunyai fakta dan hasil siasatan yang berbeza, persamaan yang wajar diberi perhatian ialah persoalan sama ada sistem pilihan raya Malaysia menyediakan remedi yang mencukupi apabila seorang pengundi menafikan bahawa beliau telah mengundi.
Beberapa negara menyediakan prosedur khas untuk mengimbangi dua kepentingan yang sama penting iaitu mencegah pengundian lebih daripada sekali dan juga melindungi pengundi sebenar.
Di Kanada, pengundi boleh dibenarkan mengundi selepas membuat deklarasi bertulis. Australia menggunakan provisional vote yang disimpan dalam sampul khas sementara kelayakan pengundi disemak.
India menyediakan tendered vote, manakala United Kingdom menyediakan tendered ballot paper yang mana pengundi menandakan kertas undi khas selepas identitinya disahkan, walaupun kertas itu disimpan berasingan.
Pendekatannya berbeza-beza, akan tetapi prinsipnya sama. Ini kerana tanda pada daftar tidak semestinya menjadi suatu penamat mutlak. Pengundi masih diberi ruang untuk membuat akuan, menandakan pilihan dan membolehkan rekod disemak kemudian.
TEKNOLOGI SAHAJA TIDAK MENCUKUPI
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh mempertimbangkan daftar pemilih elektronik yang merekodkan masa kertas undi dikeluarkan, saluran, dan petugas yang membuat catatan.
Pembaca MyKad serta pengesahan cap jari juga boleh digunakan apabila timbul pertikaian identiti. Namun biometrik bukan penyelesaian tunggal.
Cap jari boleh mengesahkan identiti, tetapi ia tidak menjelaskan mengapa daftar menunjukkan kertas undi telah dikeluarkan, atau sama ada catatan sebelumnya dibuat dengan betul.
Teknologi juga boleh gagal kerana sistem elektronik perlu disokong oleh rekod kertas dan prosedur audit yang jelas.
UNDI SEMENTARA
Cadangan yang lebih seimbang ialah memperkenalkan undi perisytiharan sementara. Apabila nama seseorang telah ditandakan tetapi beliau menafikan pernah mengundi, identitinya boleh disahkan melalui MyKad dan daftar pemilih.
Pengundi kemudian melengkapkan akuan, manakala kejadian itu direkodkan oleh Ketua Tempat Mengundi. Pengundi seterusnya diberikan kertas undi sementara untuk ditandakan secara sulit.
Kertas itu tidak dimasukkan terus ke dalam peti undi biasa, sebaliknya disimpan dalam sampul khas untuk disemak oleh Pegawai Pengurus.
Jika semakan mengesahkan bahawa tiada undi sah pernah dibuat oleh pengundi itu, undi sementara boleh diterima dalam pengiraan.
Jika terdapat kemungkinan penyamaran, pengundian berganda, atau kesilapan pentadbiran, siasatan boleh dijalankan tanpa mendedahkan calon yang dipilih oleh pengundi berkenaan.
KEPERLUAN PINDAAN
Memandangkan subperaturan 19A(2) menggunakan bahasa mandatori, mekanisme undi sementara tidak seharusnya diperkenalkan melalui arahan pentadbiran semata-mata.
Ia memerlukan pindaan jelas kepada Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981, atau peraturan tambahan yang mewujudkan pengecualian khusus.
Pindaan itu perlu menetapkan syarat pengeluaran undi sementara, kaedah pengesahan identiti, penyimpanan sampul, tempoh semakan, kerahsiaan undi dan keadaan yang membolehkan undi diterima atau ditolak.
Seksyen 16 Akta Pilihan Raya 1958 membenarkan SPR, dengan kelulusan Yang di-Pertuan Agong, membuat peraturan mengenai perjalanan pilihan raya.
Oleh itu, mekanisme undi sementara berkemungkinan boleh diwujudkan melalui pindaan perundangan subsidiari, tanpa perlu menunggu pindaan menyeluruh kepada akta utama.
SATU UNDI TETAP BERNILAI
Dalam pilihan raya yang dimenangi dengan majoriti besar, satu undi mungkin tidak mengubah keputusan keseluruhan.
Namun nilai hak mengundi tidak bergantung pada sama ada satu undi itu mampu menentukan siapa yang membentuk kerajaan. Undang-undang mesti mencegah pengundian berganda.
Tetapi undang-undang yang baik tidak berhenti pada pencegahan sahaja dan ia turut menyediakan remedi apabila rekod pentadbiran mungkin tersilap.
Satu tanda pada daftar tidak seharusnya menjadi noktah kepada hak seseorang untuk mengundi. Ia sepatutnya mencetuskan pengesahan, perekodan, semakan dan suatu kaedah undi sementara yang boleh diaudit.
Teknologi boleh membantu proses ini, tetapi ia tidak boleh menggantikan perlindungan yang mesti disediakan oleh undang-undang itu sendiri.
Demokrasi bukan sahaja dinilai melalui siapa yang menang. Ia turut dinilai melalui kesungguhan sistem melindungi setiap pengundi, termasuk seorang pengundi yang namanya telah dipotong sebelum suaranya sempat diberikan.
Kekuatan demokrasi bukan hanya terletak pada keupayaan memilih kerajaan, tetapi juga pada kesediaan sistem melindungi hak setiap rakyat untuk mengundi apabila timbul pertikaian yang tulen. – UTUSAN
LYDIANA Mansor ialah Peguambela dan Peguamcara serta Penyelidik PhD di Fakulti Undang-Undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang mengkaji model perundangan kerajaan sementara.
Dr. Ikmal Hisham Md Tah ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Undang-Undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM).










