PETALING JAYA : Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) wajar dijadikan sebagai pemberian hadiah, insentif atau sumbangan melibatkan program, anugerah, kempen mahupun peraduan.
PTPTN dalam satu kenyataan berkata, ini kerana SSPN-i merupakan produk simpanan terbaik dengan menawarkan pelbagai keistimewaan.
Katanya, hadiah akaun berbentuk simpanan seperti SSPN-i dapat memupuk serta menggalakkan ibu bapa serta anak-anak memulakan penabungan sejak awal usia.
“Kami sentiasa mengalu-alukan penglibatan agensi kerajaan dan syarikat korporat untuk menjadikan SSPN-i pilihan utama sebagai pemberian hadiah, insentif atau sumbangan melibatkan program, anugerah, kempen dan peraduan.
“Ia menawarkan pelbagai keistimewaan seperti manfaat pelepasan taksiran cukai, dividen yang kompetitif, perlindungan takaful secara percuma, simpanan dijamin kerajaan dan skim ini patuh syariah,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Dalam pada itu, PTPTN berkata, sebanyak RM1 juta diberikan kepada pemenang terpilih menerusi Peraduan Dana PTPTN anjuran bersama Dutch Lady Milk Industries Berhad (DLMI).
Menurutnya, hadiah yang diberikan dalam bentuk akaun SSPN-i membabitkan 40 pemenang dengan setiap seorang menerima RM25,000.
“PTPTN dan DLMI pertama kali menjalinkan kerjasama strategik pada tahun 2021 dalam menggalakkan ibu bapa menyediakan tabungan pendidikan anak-anak sejak mereka masih kecil di samping memberikan panduan kepada ibu bapa memilih susu formula dengan nutrisi lengkap untuk si kecil.
“Peraduan ini yang telah diadakan pada 5 April 2021 sehingga 30 Mei 2021 lalu merupakan kolaborasi strategik PTPTN dengan DLMI yang merupakan pengeluar susu lembu dan produk tenusu di Malaysia, ” ujarnya.
Senarai pemenang Peraduan Dana RM1 juta Harapan boleh diperoleh melalui laman sesawang https://www.smartmoments.com.my/ms/dana-sejuta-harapan/. Para pemenang juga boleh membuat semakan berkenaan wang tunai yang dimenangi di penyata SSPN-i melalui Portal Rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










