‘Kalau nak beri penerangan, dalam Facebook pun boleh’ - Utusan Malaysia

‘Kalau nak beri penerangan, dalam Facebook pun boleh’

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: PKR menyifatkan Persidangan Khas Dewan Rakyat sebagai ‘helah’ kerajaan bagi memenuhi tuntutan semua pihak termasuk Yang di-Pertuan Agong supaya Parlimen dibuka segera.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pengarah Komunika­sinya, Fahmi Fadzil (gambar) berkata, ini kerana persidangan khas tersebut hanya sekadar memberi penerangan tanpa perlu dibahaskan ahli Parlimen.

Kata beliau, perkara tersebut sudah pasti menimbulkan pertikaian kerana isu yang di­bincangkan melibatkan perihal rakyat, namun tidak membenarkan ahli Parlimen berbahas mengenainya.

“Kalau rujuk Peraturan 14 (1) (i), menteri-menteri hanya memberi penerangan yang tidak ada ketetapan mengikat, ia berbeza dengan usul ada undian, ada keabsahan yang diputuskan bersama,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mengikut Takwim Penggal Ketiga Parlimen Ke-14, sidang selama lima hari bermula 26 Julai itu adalah dikhususkan kepada menteri-menteri memberi penerangan berkenaan isu Covid-19 dan kebajikan rakyat.

“Kalau sekadar beri pene­rangan, baik menteri-menteri ini buat penerangan dalam Facebook atau Youtube sahaja. Kalau tidak, buat kumpulan WhatsApp dengan semua ahli Parlimen dan sebarkan sahaja penjelasan di situ,” ujarnya.

Fahmi berkata, apa yang kerajaan boleh buat adalah bentangkan Pelan Pemulihan Negara dan usul supaya Dewan Rak­yat mengangkat dan mengiktiraf pelan tersebut.

“Ini kerana Pelan Pemulihan Negara menelan belanja dan implikasi kewangan. Maka lebih elok sekiranya menteri bukan setakat memberi penerangan tetapi membawa usul khusus berkenaan pelan tersebut,” katanya.

Namun, katanya, beliau dan semua ahli Parlimen PKR tetap akan hadir bagi menjunjung titah Seri Paduka untuk membahaskan isu berkaitan darurat, Covid dan kebajikan rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×