fbpx

16 Oktober 2021, 9:42 am

  TERKINI

Syarikat AT&S buat pelaburan terbesar RM8.5 bilion di Malaysia

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Syarikat Austria Technologie & Systemtechnic AG (AT&S) iaitu pengeluar utama dunia bagi produk high-end printed circuit boards (PCB) dan integrated circuit (IC) substrates, bersetuju membuat pelaburan sebanyak RM8.5 bilion di negara ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu dinyatakan syarikat berkenaan ketika mesyuarat secara maya bersama Ketua Pegawai Eksekutifnya, Andreas Gerstenmayer serta barisan utama pihak pengurusan syarikat tersebut, semalam yang turut disertai Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menurut beliau, pelaburan terbesar dalam sejarah syarikat AT&S itu di negara ini adalah melibatkan pembangunan fasiliti perkilangan mereka yang pertama di Asia Tenggara, iaitu di Kulim High Technology Park (KHTP), Kedah.

“Andreas turut memaklumkan bahawa pelaburan AT&S di KHTP bagi mengeluarkan produk high-end PCB dan IC substrates akan bermula pada separuh tahun kedua tahun ini, manakala aktiviti komersial pula dijangka bermula pada tahun 2024.

“Saya bagi pihak kerajaan Malaysia menyuarakan perasaan sukacita dan amat mengalu-alukan keputusan syarikat AT&S untuk melabur di Malaysia. Projek tersebut juga merupakan salah satu projek pelaburan yang berjaya dibawa masuk ke negara ini di bawah Skim Galakan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA),” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook beliau hari ini.

Muhyiddin berkata, dengan pelaksanaan projek itu kelak, ia dijangka dapat menjana 5,000 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Perdana Menteri turut memaklumkan ketika mesyuarat itu bahawa Kerajaan Malaysia adalah amat mesra pelaburan dan sentiasa mengalu-alukan kemasukan pelaburan baharu dan berkualiti ke Malaysia.

Lebih-lebih lagi, katanya, melibatkan bidang teknologi dan inovasi serta sentiasa bersedia untuk menawarkan pelbagai insentif bagi menggalakkan lebih banyak pelaburan asing ke Malaysia.

“Saya telah menegaskan bahawa kerajaan Malaysia melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan memastikan supaya pelaksanaan projek yang telah dirancang oleh syarikat AT&S akan dapat berjalan dengan lancar.

“Pelaburan daripada AT&S ini jelas menunjukkan keyakinan pelabur asing untuk terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelaburan walaupun dunia sedang berhadapan dengan cabaran pandemik Covid-19,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, aliran konsisten dengan jumlah pelaburan yang diluluskan pada suku pertama 2021 seperti yang diumumkan MITI dan MIDA semalam berjumlah RM80.6 bilion dalam sektor pengeluaran, perkhidmatan dan industri primer yang menunjukkan peningkatan 95.6 peratus dari suku yang sama tahun lalu.

Beliau menjelaskan, trend seperti ini menunjukkan bahawa komuniti pelaburan yakin terhadap prospek pemulihan ekonomi negara dan Kerajaan Malaysia akan terus meningkatkan usaha untuk menarik pelabur asing dan tempatan untuk terus melabur dan memperbanyak peluang pekerjaan.

“Ia sekali gus membantu pemulihan ekonomi Malaysia dan meningkatkan kesejahteraan rakyat dalam berhadapan cabaran ekonomi ketika pandemik Covid-19,” katanya. -UTUSAN ONLINE

POPULAR

KOSMO! TERKINI