PUTRAJAYA: Pakar Mata dan Pakar Motivasi terkenal, Datuk Prof Dr. Muhaya Mohamad menafikan beliau mengamalkan ‘Garpu Tala’ iaitu satu kaedah membuka al-Quran secara rawak untuk mencari jawapan kepada persoalan kehidupan seseorang.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, sebaliknya video tular yang digabungkan dengan beberapa klip video dari sumber lain mendakwa beliau mengamalkan amalan berkenaan telah dimanipulasi pihak tertentu dan disebarkan tanpa merujuk kepada pihaknya.
Beliau menjelaskan, petikan video beliau bersama pendakwah terkenal dari Indonesia itu diambil ketika mendengar ceramah yang disampaikan yang secara kebetulan menyampaikan kaedah mendampingi Al-Quran.
“Apa yang didakwa dalam video itu tidak benar sama sekali kerana petikan yang diambil hanyalah ketika sesi ‘live’ saya bersama dalam program serta ketika mendengar ceramah pendakwah itu. Saya menyertai program tersebut dan bukanlah seperti dakwaan yang mana saya mengamalkannya.
“Sebagai umat Islam, kita perlu sentiasa mendampingi al-Quran dalam apa jua keadaan kerana al-Quran merupakan mukjizat yang mampu memberi ketenangan kepada pembacanya. Ia bukan bermakna mengambil saranan berdasarkan ayat tertentu secara ‘random’. Ini adalah salah faham,” katanya di sini semalam.
Prof Muhaya pada masa sama menyarankan supaya umat Islam terus berpegang kepada ajaran dan penghayatan al-Quran sebenar-benarnya dan sentiasa menjadikan ulama serta para mufti sebagai rujukan di negara ini.
“Semoga Allah SWT sentiasa merahmati kita semua terutama dalam suasana sebegini,” katanya. -UTUSAN ONLINE










