Pasar Awam Chai Leng Park dibuka semula esok - Utusan Malaysia

Pasar Awam Chai Leng Park dibuka semula esok

PASAR Awam Chai Leng Park, Butterworth, Pulau Pinang yang ditutup selama 10 hari ekoran kes positif Covid-19 dalam kalangan peniaga akan dibuka semula esok.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) tidak akan melanjutkan tempoh penutupan Pasar Awam Chai Leng Park di sini yang sepatutnya tamat hari ini meskipun pasar awam itu merekodkan jumlah kes positif Covid-19 yang tinggi iaitu 75 kes daripada keseluruhan 169 individu yang disaring ketika ini. 

Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud berkata, operasi perniagaan di pasar itu akan dibuka semula bagi memberi peluang kepada peniaga yang telah selesai menjalani tempoh kuarantin dengan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat mulai esok. 

“Diharapkan, pembukaan semula operasi ini akan memberi manfaat semula kepada 143 peniaga di dalam pasar awam dan 56 peniaga pasar pagi di luar bangunan pasar awam ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Terdahulu, peniaga di pasar awam itu diarahkan menutup operasi mereka selama 10 hari bermula 20 Jun lalu selepas 11 peniaga di situ dikesan positif Covid-19. 

Jumlah mereka yang dikesan positif kemudian meningkat secara mendadak dalam tempoh beberapa hari apabila sebanyak 32 kes dilaporkan daripada 152 individu yang disaring. 

Selain peniaga, turut dikesan positif ialah pembantu gerai, anggota persatuan serta pembantu awam MBSP. 

Dalam pada itu kata Rozali, hanya peniaga atau pekerja yang telah selesai menjalani tempoh kuarantin dibenarkan beroperasi esok. 

“Mereka yang masih dalam pengawasan atau belum tamat tempoh kuarantin tidak dibenarkan berniaga dan sekiranya degil akan berdepan tindakan perundangan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342). 

“Pada masa sama, tahap keselamatan di pasar awam itu akan terus dipertingkatkan dengan pemasangan kawad berduri bagi mengelakkan berlakunya kemasukan melalui jalan-jalan tikus,” katanya.  -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya