Pengendali p-hailing perlu naikkan insentif 'rider' - Utusan Malaysia

Pengendali p-hailing perlu naikkan insentif ‘rider’

JALALUDDIN ALIAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Syarikat pengendali perkhidmatan p-hailing perlu memainkan peranan dalam isu peningkatan kes kematian akibat kemalangan yang melibatkan pekerja mereka iaitu penghantar-penghantar makanan bermotosikal ataupun ‘rider’.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, laporan bahawa hampir dua pertiga daripada 2,576 kes kematian penunggang motosikal sepanjang tempoh sembilan bulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu adalah melibatkan penunggang p-hailing adalah sesuatu yang sangat mengejutkan.

Sehubungan itu, beliau berpandangan, syarikat pengendali antara pihak yang perlu mencari jalan penyelesaian dalam soal keselamatan tersebut.

“Syarikat pengendali jangan terlalu berkeras dengan ‘rider’ anda. Cari kaedah yang terbaik bagi memastikan ‘rider’ anda tidak terlalu tertekan dan tergesa-gesa dalam menyelesaikan penghantaran mereka, kaji semula kaedah ‘rating’ ‘rider’ anda.

“Naikkan sedikit insentif penghantaran ‘rider’. Saya percaya ‘rider’ yang ada tergesa-gesa untuk menyelesaikan penghantaran mereka bagi memastikan mereka mencapai sasaran pendapatan harian mereka. Berikan insentif tambahan kepada para ‘rider’ yang mempunyai rekod kesalahan lalu lintas yang baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Jelebu itu lagi, penunggang p-hailing juga seharunsya menjaga dan mengutamakan keselamatan diri masing-masing ketika berada di atas jalan raya.

“Saya faham semua hendak cuba mencari pendapatan sebanyak mungkin, tapi harus diingat, wang setinggi gunung tidak akan mampu menggantikan nyawa yang telah hilang.

“Jika terfikir hendak melanggar peraturan jalan raya, bawa motosikal dengan laju, sentiasa bayangkan wajah ibu, ayah, anak dan isteri yang menunggu di rumah,” katanya.

Tambah beliau, pelanggan juga dinasihatkan tidak terlalu mendesak ‘rider’ untuk cepat menghantar makanan yang ditempah.

“Beri mereka masa, fahami keadaan mereka lebih-lebih lagi jika cuaca kurang baik. Jangan terlalu mudah memberi ‘bad rating’ kepada rider.

“Sebab terlalu ingin menjaga rating inilah menjadi punca rider sedikit menggila di atas jalan raya,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.