Bekas NC UMS terkejut terima surat MOF - Utusan Malaysia

Bekas NC UMS terkejut terima surat MOF

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Saksi pertama kes bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony terkejut tiba-tiba apabila menerima surat rasmi Kementerian Kewangan mengandungi nota catatan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah berkata, surat itu berkenaan pemakluman agihan projek kerja secara rundingan terus kepada Syarikat Asli Jati Sdn. Bhd. di mana Anthony sebagai pengarah urusan.

Katanya, ia membabitkan pelaksanaan projek penyelengaraan sistem mekanikal dan kejuruteraan Bangunan Fasa 2B, Bangunan dan Infra Kampus Induk dan beberapa premis bangunan UMS selama lima tahun serta secara rundingan terus.

“Saya tidak pernah menghantar dan menandatangani surat kepada kementerian berkenaan, malah, di luar pengetahuan saya, namun, dilakukan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS (ketika itu), Prof Dr. Sharif Abdul Kadir S. Komang.

“Beliau (Sharif Abdul Kadir) tidak ada memaklumkan kepada saya apa-apa berhubung surat ini sehingga menerima daripada Kementerian Kewangan bertarikh 5 September 2015, barulah dia beritahu.

“Merujuk kepada surat ini, terdapat catatan oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Najib selaku Menteri Kewangan yang mengatakan ‘Yang Berbahagia Datuk Hashamuddin. Bersetuju untuk disambung tiga tahun lagi’,” katanya ketika sesi pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Datuk Hashamuddin dipercayai merujuk seorang pegawai kanan di Kementerian Kewangan.

Beliau mendakwa tidak pernah menandatangani surat kerja penyelengaraan itu meskipun menggunakan kepala surat Naib Canselor UMS dan di atas namanya sendiri.

“Merujuk kepada surat ini, saya cam ia tandatangan Sharif Abdul Kadir dan beliau juga di hadapan saya mengaku ditandatanganinya sendiri.

“Saya sahkan bahawa tindakan Sharif Abdul Kadir mengeluarkan dan menandatangani surat ini bertentangan Mesyuarat Lembaga Pengarah Universiti UMS yang memutuskan perolehan tender perlu dibuat secara terbuka,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Harun berkata, UMS lebih awal telah melantik sebuah syarikat lain secara tender terbuka iaitu Remt Utama Sdn. Bhd. bagi kerja penyelenggaraan itu dengan tempoh kontrak 24 bulan dan berjumlah RM21,999,688.00.

Terdahulu, Anthony yang dibicarakan atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu mengaku tidak bersalah terhadap pindaan kepada pertuduhan utama dan pilihan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Di bawah pertuduhan utama, tertuduh sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn. Bhd. telah melakukan pemalsuan terhadap surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS 9 Jun 2014 dengan memasukkan penyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.

Kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014 mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Anthony turut didakwa atas pertuduhan pilihan di lokasi dan tarikh sama iaitu menggunakan satu dokumen palsu sebagai tulen iaitu sepucuk surat Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia (UMS) bertarikh 9 Jun 2014 yang mempunyai pernyataan palsu.

Pendakwaan itu dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung esok dan dijangka memanggil saksi keempat.

habis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya