PETALING JAYA: UMNO perlu lebih terbuka untuk bekerjasama dengan ‘musuh’ politik dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) .
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Abd. Aziz Kaprawi berkata, ini kerana parti itu tidak boleh berdiri sendiri untuk bertanding dengan mengharapkan undi Melayu semata-mata.
“UMNO perlu terbuka. Dalam pilihan raya akan datang kena ada ‘winning game’ dan salah satunya adalah kerjasama dengan seberapa banyak parti yang ada di Malaysia waima dengan PKR dan DAP sekalipun. Tindakan itu harus dilakukan kerana UMNO sudah tamatkan kerjasama dengan Bersatu.
“UMNO tidak boleh berdiri sendiri, dalam masa yang sama kita berharap Pas ingat pada perjanjian asal untuk bekerjasama dengan kita. Bagaimanapun, UMNO tidak boleh bergantung kepada undi Melayu sahaja,” katanya ketika dihubungi semalam.
Mengambil contoh apa yang berlaku di Parlimen Sri Gading sebelum ini, Abd. Aziz berkata, UMNO hilang kuasa di Parlimen itu kerana hilang pengaruh undi daripada masyarakat Cina.
Maka sebab itu, beliau menegaskan yang UMNO tidak boleh bertanding sendiri dan perlu berpegang kepada konsep menang-menang jika ingin terus berkuasa.
“Parlimen Sri Gading ini memang kerusi tradisi UMNO, tetapi pada PRU-14 saya kalah kerana hampir kesemua pengundi Cina beralih kepada DAP dalam kerjasama PH. Walaupun mereka menang tipis, UMNO hilang kuasa di Parlimen itu,” jelasnya.
Untuk rekod, Aziz sebelum ini gagal mempertahan kerusi Parlimen Sri Gading apabila tewas dengan majoriti 3,288 kepada calon PKR, Datuk Dr. Shaharuddin Md. Salleh yang memperoleh 21,511 undi dan calon Pas, Lt. Kol. M. Ash’ari (4,548 undi). – UTUSAN










