fbpx

6 Mac 2021, 9:28 pm

  TERKINI

‘Saya rayu anda terus duduk rumah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah merayu kepada semua rakyat supaya terus duduk di rumah dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata, tempoh dua minggu sangat penting kepada setiap orang dan negara.

“Saya menggesa dan merayu kepada semua orang untuk tinggal di rumah dan mengelak daripada mengadakan atau menghadiri sebarang perjumpaan sosial.

“Ini termasuk melakukan aktiviti luar yang tidak penting ketika kita sedang melawan gelombang ketiga wabak ini dengan trend jangkitan Covid-19 yang meningkat,” katanya dalam catatan Facebook beliau malam ini.

Kes harian positif Covid-19 negara terus mencatatkan angka membimbangkan dengan kes tertinggi hari ini sebanyak 3,309 kes.

Jumlah kes harian itu merupakan kali kedua melebihi angka 3,000 sejak pandemik Covid-19 melanda negara dengan kali pertama dicatatkan pada 7 Januari lalu sebanyak 3,027 kes sebaik sahaja tahun 2021 membuka tirai.

Kerajaan semalam memutuskan melaksanakan PKP untuk tempoh 14 hari sehingga 26 Januari ini melibatkan enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

Negeri-negeri yang dikenakan PKP adalah negeri yang berisiko tinggi hasil penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan dan tahap keupayaan perkhidmatan kesihatannya telah hampir mencapai kapasiti maksimum.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini turut memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif untuk membendung dan melandaikan kes positif Covid-19 harian yang telah mencecah empat angka secara berterusan sejak bulan Disember lalu. – UTUSAN ONLINE