Operasi IPT Kementerian Pengajian Tinggi kekal - Utusan Malaysia

Operasi IPT Kementerian Pengajian Tinggi kekal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Operasi institusi pendidikan tinggi (IPT) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi kekal seperti yang dimaklumkan sebelum ini walaupun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kementerian itu dalam satu kenyataan memaklumkan, penuntut antarabangsa dibenarkan masuk ke kampus kecuali dari United Kingdom (UK), seawal 1 Januari lalu dan penuntut tempatan 1 Mac ini.

Jelas kementerian itu, semua penuntut yang telah berada di kampus perlu kekal di kampus masing-masing dan mengikuti pembelajaran secara hibrid.

“Bagi pelajar lain, pembelajaran bagi semua program pengajian diteruskan dengan pembelajaran secara dalam talian sehingga tamat PKP.

“Peperiksaan antarabangsa dan badan profesional juga dibenarkan dijalankan di kampus,” katanya.

Semalam, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKP untuk tempoh 14 hari sehingga 26 Januari ini melibatkan enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

PKP Bersyarat (PKPB) pula dikenakan ke atas enam negeri lain iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan manakala bagi negeri Perlis dan Sarawak dikenakalan PKP Pemulihan (PKPP) yang akan diteruskan sepanjang tempoh tersebut.

Menurut kenyataan itu, pelajar-pelajar berkeperluan seperti latihan klinikal, peperiksaan profesional, makmal, studio, amali atau akses internet dan seumpamanya adalah dibenarkan.

Jelasnya, surat kebenaran khas akan dikeluarkan pihak IPT bagi membolehkan pelajar yang berkeperluan memohon kebenaran merentas negeri atau daerah untuk pulang ke kampus daripada pihak berkuasa.

Dalam pada itu katanya, semua aktiviti penyelidikan yang melibatkan kemudahan makmal adalah dibenarkan melalui kebenaran ketua jabatan dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Pelajar luar kampus yang menjalani aktiviti penyelidikan perlu mendapatkan surat kebenaran keluar masuk kampus dari IPT masing-masing.

“Kementerian menyeru agar pelaksanaan aktiviti akademik di kampus dijalankan dengan mematuhi sepenuhnya SOP yang ditetapkan dan mengutamakan langkah keselamatan serta mengamalkan pembudayaan kebiasaan baharu seperti sentiasa memakai pelitup muka, menggunakan cecair pembasmi kuman serta menjaga penjarakan fizikal,” katanya.

Kementerian turut memaklumkan para pelajar boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai tarikh dan jadual kemasukan ke IPT melalui Bilik Gerakan Covid-19 KPT yang dibuka 24 jam di talian 03-8870 6777/ 6949/ 6623/ 6124, melayari laman web IPT atau terus menghubungi IPT masing-masing. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya