Pemburu belut cilik raih sehingga RM80 hasil jualan - Utusan Malaysia

Pemburu belut cilik raih sehingga RM80 hasil jualan

Muhammad Aqid Islam Fikri (kiri), Muhammad Adam Ashraf Nasir (dua dari kiri) , Muhammad Ariff Farhan Akmal (dua dari kanan), dan Mohd Adam Adha Faizal (kanan) bersama hasil yang diperoleh mereka daripada aktiviti menangkap belut menggunakan teknik tukil. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Ketika kanak-kanak lain cenderung bermain gajet, Muhammad Adam Adha Mohd. Faiza, 11, selesa mengisi cuti hujung minggunya dengan menangkap belut di kawasan paya di Kampung Seberang Marang di sini.

Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Marang itu berkata, aktiviti rutin sejak berusia lapan tahun itu turut membolehkannya meraih pendapatan antara RM20 hingga RM80 hasil jualan belut.

Katanya, minat menangkap belut timbul selepas mengikuti bapanya, Mohd. Faiza Abu Kadir, 41, melakukan aktiviti tersebut yang kemudian diteruskan secara berseorangan sebelum disertai sepupu, Muhammad Ariff Farhan Akmal, 11, serta dua rakan sekolah lain, Muhammad Adam Ashraf Nasir, 11, dan M. Aqid Islam Fikri, 9.

Menurut anak ketiga daripada empat beradik itu, kebiasaannya perangkap belut yang dinamakan tukil dengan umpan ikan sepat dibakar, dipasang pada waktu petang manakala hasil tangkapan diambil keesokannya kira-kira pukul 7 pagi.

“Saya mempunyai 14 tukil yang dibuat sendiri daripada paip polivinil klorida (PVC) dan selain menangkap belut, aktiviti ini bertambah meriah apabila kami dapat mandi-manda.

“Setiap tukil boleh memuatkan sebanyak tiga ekor belut dan hasil tangkapan biasanya antara dua hingga empat kilogram,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Muhammad Adam Adha berkata, harga pasaran belut ialah RM20 sekilogram dan kesemua hasil tangkapan lazimnya laris dibeli sejurus dibawa pulang ke rumah.

Sementara itu, gurunya, El Gamillo Habibun Tan, 40, berkata, dia mengetahui tentang hobi unik Muhammad Adam Adha apabila kanak-kanak tersebut menghadiahkan belut kepada salah seorang tenaga pengajar di sekolah.

Katanya, peluang menyaksikan kanak-kanak itu menangkap belut secara tidak langsung mengimbau nostalgia zaman kecilnya melakukan aktiviti sama.

“Saya sempat merakamkan gambar anak-anak murid menangkap belut daripada proses memasang perangkap hingga mengambil hasil tangkapan. Istimewanya, hobi Muhammad Adam Adha ini juga membantunya dalam perbelanjaan sekolah,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×