ANKARA: Hubungan Turkiye dan Azerbaijan yang sekian lama akrab kini dilanda ketegangan susulan pertikaian berhubung sekatan pemakaian tudung di sekolah Azerbaijan serta perbezaan pendirian mengenai Israel.
Ketegangan itu mencetuskan pertukaran kenyataan terbuka antara pegawai kanan kedua-dua negara yang berkongsi bahasa dan hubungan erat berteraskan slogan ‘satu bangsa, dua negara’.
Walaupun pemimpin tertinggi kedua-dua negara masih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan, beberapa pegawai kanan mula menyuarakan kritikan secara terbuka.
Pada Isnin, penasihat kanan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, Oktay Saral, menyifatkan keputusan Azerbaijan mengubah peraturan pakaian seragam sekolah sebagai tindakan tidak boleh diterima.
Peraturan baharu itu melarang pemakaian pakaian atau aksesori yang bercanggah dengan pakaian seragam sekolah atau prinsip sekular dalam sistem pendidikan.
“Memakai tudung adalah tuntutan agama!.Kami berharap Azerbaijan membetulkan kesilapan ini secepat mungkin,” tulis Saral menerusi platform X.
Bagaimanapun, Parti Azerbaijan Baharu (YAP) yang memerintah negara itu membalas kritikan berkenaan pada Selasa dengan mengecam Saral serta ahli Parlimen daripada Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) pimpinan Erdogan.
YAP menyifatkan kenyataan mereka sebagai populis dan tidak bertanggungjawab, sekali gus memperlihatkan ketegangan yang semakin ketara antara kedua-dua negara.
“Kempen penyebaran maklumat palsu yang menyasarkan Azerbaijan sejak kebelakangan ini semakin agresif, sistematik dan terang-terangan berunsur fitnah,” menurut kenyataan itu.
Pertikaian berkenaan mencerminkan perbezaan ketara antara Azerbaijan, antara negara paling sekular dalam dunia Islam, dengan kepimpinan Turkiye yang berteraskan Islam konservatif.
Namun, ketegangan itu turut menyerlahkan perbezaan pendirian berhubung hubungan Azerbaijan dan Israel yang semakin rapat sejak perang Karabakh pada 2020 antara Baku dengan musuh ketatnya, Armenia. Ketika konflik itu, Israel membekalkan dron dan pelbagai senjata lain kepada Azerbaijan.
Sebaliknya, hubungan Turkiye dengan Israel berada pada tahap paling buruk apabila Erdogan menuduh Israel melakukan genosid di Gaza.
Ankara juga kerap menyiarkan gambar pertemuan peringkat tinggi dengan pemimpin Hamas, gerakan Islam Palestin yang melancarkan serangan terhadap Israel pada Oktober 2023, sekali gus mencetuskan perang di Gaza.- AFP











