KUALA TERENGGANU: Kes denggi di Terengganu melonjak sebanyak 230.9 peratus kepada 460 kes sehingga 3 Oktober lalu berbanding 139 kes dalam tempoh sama tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, berdasarkan statistik Jabatan Kesihatan Negeri, daerah Kuala Terengganu merekodkan jumlah kes tertinggi sebanyak 318 kes berbanding 76 kes pada tahun lalu.
Katanya, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 318.4 peratus sekali gus menjadikan Kuala Terengganu daerah paling terjejas dengan penularan denggi di negeri ini.
“Hulu Terengganu pula mencatatkan peningkatan tertinggi dari segi peratusan iaitu sebanyak 583.3 peratus kepada 41 kes berbanding hanya enam kes dalam tempoh sama tahun lalu.
“Daerah lain yang turut mencatatkan peningkatan ialah Kuala Nerus dengan 28 kes berbanding 12 kes, diikuti Besut (26 kes), Kemaman (20 kes), Setiu (12 kes) dan Marang (sembilan kes),” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Bagaimanapun, Dungun menunjukkan perkembangan positif apabila merekodkan penurunan kes sebanyak 33.3 peratus kepada enam kes berbanding sembilan kes pada tahun lalu.
Beliau berkata, walaupun jumlah kes meningkat dengan ketara, tiada kematian akibat denggi direkodkan bagi kedua-dua tempoh berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, menurutnya, sebanyak 1,180 kompaun dikeluarkan bagi tempoh Januari hingga September tahun ini membabitkan nilai keseluruhan RM590,000.
Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 932 kompaun dilaporkan telah dibayar dengan nilai bayaran RM97,620.
‘Orang ramai diseru supaya meningkatkan usaha pencegahan denggi dengan memastikan kawasan kediaman dan persekitaran sentiasa bersih serta bebas daripada tempat pembiakan nyamuk Aedes.
“Antara langkah yang boleh dilakukan adalah menghapuskan air bertakung, membersihkan bekas yang berpotensi menakung air serta melakukan pemeriksaan berkala di dalam dan luar rumah bagi mengelakkan pembiakan nyamuk pembawa denggi,” katanya. – UTUSAN











