UEC perlu ikut Dasar Pendidikan Kebangsaan - PM - Utusan Malaysia

UEC perlu ikut Dasar Pendidikan Kebangsaan – PM

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak pernah mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan akan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dalam pertemuannya dengan pimpinan Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong) baru-baru ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini berkata,  dalam pertemuan itu Muhyiddin menyebut UEC sudah mendapat pengiktirafan sebahagian apabila kerajaan terdahulu menerima lepasan UEC untuk mengikuti sebuah program ijazah perguruan dalam bidang pengkhususan bahasa Cina di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).

“Kerajaan pada 2012 menerima lepasan UEC untuk mengikuti program ijazah sarjana muda perguruan dalam bahasa Cina dengan syarat mereka lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan memperoleh sekurang-kurangnya gred kepujian dalam Bahasa Melayu.

“Perdana Menteri turut menegaskan UEC perlu mengikut Dasar Pendidikan Kebangsaan sekiranya mahu dipertimbangkan penyelesaiannya oleh kerajaan pada masa depan,” kata kenyataan berkenaan.

Isu tersebut timbul selepas Hua Zong mendakwa Muhyiddin secara peribadi berharap UEC akan diiktiraf suatu hari nanti dalam pertemuan pada 16 Julai lalu.

Gabungan itu turut dilaporkan mendakwa Muhyiddin menyuarakan kesanggupan kerajaan berunding dengan mereka dan pertubuhan lain mengenai isu UEC.

UEC ialah peperiksaan seragam untuk pelajar di 60 sekolah menengah Cina di seluruh negara sejak 1975.

Sukatan pelajarannya dibangunkan Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) apabila sekolah Cina enggan menerima pakai bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Lepasan UEC tidak boleh melanjutkan pelajaran di universiti kerajaan dan bekerja di sektor awam negara ini kerana ia tidak diiktiraf Kerajaan Persekutuan. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya