Siapa jadi Pengerusi, PN segeralah mesyuarat

Siapa jadi Pengerusi, PN segeralah mesyuarat

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEBERAPA isu melanda Perikatan Nasional (PN) kebelakangan ini melonggarkan jalinan kerjasama gabungan parti yang menyasarkan pentadbiran di Putarajaya itu dan boleh tercabut jika tidak kena gaya mengikatnya semula.

Demi ‘kelangsungan’ pentadbiran PN, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang terpaksa memanggil mesyuarat tergempar Majlis Tertingginya (MT) antara lain bagi menerima dan mengesahkan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi.

Tindakan itu diambil Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi PN memandangkan tarikh kuat kuasa peletakan jawatan tersebut telah berjalan melebihi 10 hari, iaitu sejak 1 Januari lalu. Perlu diingat, Muhyiddin mengumumkan meletak jawatan tiga hari lebih awal dari tarikh kuat kuasa, yang bermakna sudah dua ming­gu perkara itu belum di­selesaikan.

PN mempunyai empat parti komponen iaitu Pas selaku parti terbesar dalam gabungan, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).

Sejak Muhyiddin mengumumkan meletak jawatan, Pas dilihat bersungguh-bersungguh mahu menyelesaikan segera pelantikan pengganti Muhyiddin dengan membayangkan ia dapat dibuat dua minggu lepas.

Parti itu secara jelas menyatakan mahu menerajui PN dan meminta parti gabungan supaya tidak perlu khuatir jika pe­mimpinnya memegang kemudi. Abdul Hadi percaya kebimba­ngan itu selesai selepas semua urusan berjalan lancar.

Sebaik sahaja Muhyiddin pulang dari luar negara, Pre­siden Bersatu itu menerima kunjungan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang dikatakan membawa mandat Presiden Pas pada Selasa lalu.

Disangkakan pertemuan itu seterusnya membawa kepada penyelesaian pelantikan Pengerusi baharu PN namun ramalan tersebut meleset. Sebaliknya kelihatan semakin rumit gara-gara isu dalaman dan kemahuan parti gabu­ngan.

Alasan PN tiada Setiausaha Agung susulan peletakan jawatan penyandangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk memanggil mesyuarat MT sa­ngat remeh kerana gabungan itu mempunyai Timbalan Setiausaha Agung iaitu Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang boleh menjalankan tugas berkenaan.

Malah, Abdul Hadi sendiri sudah menyatakan mesyuarat MT PN boleh berlangsung dengan jumlah ahli jawatankuasa yang mencukupi.

Situasi dirumitkan lagi apabila timbul pula kenyataan kedudukan Pengerusi PN perlu setaraf atau sekurang-kurang­nya lebih tinggi daripada jawatan presiden parti-parti dalam gabungan.

ARMADA Bersatu turut membuat ketetapan jawatan Pengerusi PN mesti disandang oleh mana-mana presiden parti gabungan itu, yang mempu­nyai kuasa dan autoriti mewakili parti masing-masing.

Sedangkan Abdul Hadi sudah menyatakan bahawa tiada dalam Perlembagaan PN jawatan Pengerusi perlu diisi dalam kalangan Presiden parti-parti dalam gabungan berkenaan. Pada masa sama, Presiden Pas itu sudah memberi bayangan tidak akan memegang jawatan Pengerusi dan memberi jaminan sedia membantu walau siapa sahaja dilantik.

Sebagai sebuah gabungan yang bercita-cita berada di Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum Ke-16, PN perlu segera menyelesaikan isu kedudukan Pengerusinya yang kini menjadi bahan sindiran dalam media sosial gara-gara belum selesai.

Bersatu telah menyelesaikan mesyuaratnya manakala Pas lebih awal bersedia memuktamadkan pengganti Muhyiddin dalam PN.

Panggilan mesyuarat sudah dibuat dan Timbalan Setiausaha Agung PN boleh menguruskannya. Justeru itu, tiada alasan lagi ia ‘dilengah-lengahkan’. Kerjasama gabungan itu tidak boleh dilihat longgar menuju PRU16 yang mampu meranapkan impian mereka menawan Putrajaya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN