KUALA LUMPUR: Wanita UMNO mahu undang-undang syariah di setiap negeri diselaras bagi membolehkan pelaksanaan hukuman yang lebih seragam, sekaligus mengelak tanggapan buruk pihak tertentu.
Untuk itu, Wakil Wanita UMNO Pulau Pinang, Zainab Abu Bakar menyarankan supaya pemimpin Islam yang bertanggungjawab, mengadakan pertemuan bagi mencari titik persamaan dalam pelaksanaan undang-undang syariah di negara ini.
Menurutnya, perbezaan pentadbiran dan penguatkuasaan undang-undang syariah antara negeri hanya mewujudkan ketidakseragaman dalam pelaksanaan hukuman meskipun kes adalah serupa.
“Ini boleh memberi gambaran kurang baik mengenai undang-undang Islam pada pandangan orang-orang yang bukan Islam,” katanya ketika membahaskan usul agama, pendidikan dan sosial pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.
Mengenai bidang pendidikan, Zainab mahu Kementerian Pendidikan (KPM) meneliti pelaksanaan semula Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi mengukur tahap sebenar pelajar.
Katanya, pelaksanaan semula peperiksaan itu juga dilihat membantu pelajar lebih fokus dan mempunyai matlamat dalam pelajaran mereka.
“Ketiadan peperiksaan berkenaan menyebabkan pelajar kurang bermatlamat dan fokus dalam pembelajaran. UPSR dan PT3 dilihat mampu memberi persediaan berperingkat kepada pelajar untuk mendepani cabaran mengikut peringkat umur mereka,” katanya.
Wakil Wanita UMNO Pulau Pinang itu turut menggesa kementerian terlibat menjalin kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin masyarakat bagi menangani isu gejala sosial termasuk gejala seks dan lari dari rumah melibatkan remaja.
Beliau turut meminta kementerian terlibat memperbanyakkan program `outreach’ bersama masyarakat di peringkat sekolah, institusi pengajian tinggi dan kawasan-kawasan perumahan bagi meningkatkan kesedaran. – UTUSAN











