PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) dijangka meraih majoriti dua pertiga di tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).
Di Kedah, PN yang ketika ini menyandang 21 kerusi mampu menambah sekurang-kurangnya 10 kerusi lagi Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas memenangi 11 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), menjadikan jumlah keseluruhan kepada majoriti 31 daripada 36 kerusi yang ditandingi.
Di Kelantan, PN mampu menambah kira-kira lapan kerusi selepas memenangi lima kerusi Parlimen dalam PRU lalu, sekali gus menyapu bersih kesemua 45 kerusi secara keseluruhan dan merampas semua tujuh kerusi yang disandang UMNO.
Di Terengganu, PN yang berjaya memenangi kerusi Parlimen Besut, Kuala Nerus dan Hulu Terengganu dalam PRU15 dijangka menambah lima kerusi DUN, bakal menguasai 27 daripada 32 kerusi ditandingi.
SENTIMEN
Jangkaan ini disokong geostrategis, Prof. Dr. Azmi Hassan yang menyifatkan, PRU15 baru sahaja diadakan beberapa bulan lalu dan sentimen pengundi di ketiga-tiga negeri ketika ini masih lagi memihak kepada PN di sebalik pelbagai isu membelenggu gabungan politik itu.
Justeru beliau memberi bayangan bahawa kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) belum cukup untuk menumbangkan PN ketika ini.
“Sebab itu dalam PRN kali ini, Kedah, Kelantan Terengganu kekal status quonya. Pas akan mencapai kemenangan dan akan terus memerintah di ketiga-tiga negeri tersebut,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Bagaimanapun, beliau menjangkakan PH dan BN akan terus mentadbir Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
“Di Pulau Pinang ada DAP, jadi tidak lari banyak sokongan pengundi bukan Melayu.
“Sama juga dengan Selangor dan Negeri Sembilan, besar kemungkinan kekal tetapi bergantung kepada kerjasama PH dan BN,” katanya.
MENAMBAH
Di Pulau Pinang, PN yang menawan tiga kerusi Parlimen iaitu Kepala Batas, Tasek Gelugor dan Permatang Pauh dalam PRU15 mampu menambah lapan kerusi DUN namun masih tidak cukup untuk membentuk kerajaan kerana perlu meraih sekurang-kurangnya 21 daripada 40 kerusi bagi meraih majoriti.
Begitu juga di Selangor, apabila PN mampu menambah sehingga 20 kerusi namun perlu meraih 29 daripada 56 kerusi untuk majoriti mudah manakala di Negeri Sembilan menjadi satu-satunya negeri yang tidak dapat ditembusi oleh PN selepas gagal memenangi sebarang kerusi Parlimen pada PRU lalu.
Selain itu, terdapat beberapa faktor lain yang turut menyumbang kepada majoriti dua pertiga PN di Kedah, Kelantan dan Terengganu seperti peratusan keluar mengundi, penambahan pengundi baharu, populariti pemimpin tempatan dan penerimaan pengundi Melayu terhadap kerjasama antara PH dan BN.
Bagaimanapun, Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, walaupun mereka memiliki kelebihan ketika ini, mereka enggan memandang mudah saingan daripada PH dan BN.
“Memang Kedah menjadi tarikan baik di pihak PN mahupun PH-BN. Kita sedang memerintah, mereka pula berhasrat nak rampas negeri ini kerana mereka nak rampas Kelantan dan Terengganu tak larat, jadi mereka pulun di Kedah.
“Bukan jalan mudah untuk PH BN dan kita pun tak anggap pakatan mereka itu mudah dihadapi. Sebab itu kita persiapkan jentera lebih awal dan sudah mulakan kempen sebelum DUN dibubarkan,” katanya. – UTUSAN











