KETIKA perjumpaan komponen Barisan Nasional (BN) Pahang bersama Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hassan kelmarin, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail meminta sistem kuota bagi meletakkan calon di sesuatu kawasan di negeri ini dikaji semula secara mendalam.
Wan Rosdy yang juga Pengerusi BN negeri memaklumkan bahawa parti itu optimis untuk memenangi 14 kerusi Parlimen dan 35 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Menteri Besar itu menjelaskan, BN perlu berfikir di luar kotak jika hendak menang PRU15 dan sekiranya masih kekal dengan cara atau pemikiran lama, ia suatu yang sukar kerana pilihan raya umum kali ini bakal menentukan hidup dan mati parti itu.
“Jika tewas PRU15, adalah sukar untuk UMNO/BN bangkit semula. Jadi parti perlu mengkaji semula sistem kuota sehabis baik. Kalau kita boleh menang di sesuatu kawasan, teruskan,” kata Wan Rosdy.
Sebagai Ketua BN di Pahang, tentunya Wan Rosdy mengetahui apa terbaik yang perlu dilakukan bagi memastikan negeri ini terus menjadi kubu kuat BN sekali gus mengekalkan kemenangan pada PRU14.
Berani
Sememangnya BN perlu lebih berani memperkenalkan amalan politik baharu dan semasa yang tidak lagi terikat dengan tradisi politik usang.
Umum mengetahui, pembahagian kerusi mengikut kuota parti dalam gabungan politik adalah amalan yang diperkenalkan BN sejak dahulu.
Ia amalan politik usang yang tidak lagi sesuai untuk suasana politik yang semakin mencabar ketika ini.
Sepatutny, pemilihan calon dalam pilihan raya tidak l terikat dengan kuota parti sebaliknya yang perlu diutamakan adalah calon boleh menang dan diterima rakyat.
PRU15 bukan lagi gelanggang untuk BN mencuba-cuba dengan memberi kepercayaan kepada calon-calon yang berasaskan kepada kuota.
Calon dipilih mestilah yang sudah terlibat lama dalam kancah politik, dikenali dan rapat dengan masyarakat tempatan, bukan yang diterjunkan dari langit yang tidak faham hati nurani masyarakat serta sikit sangat jasa yang dibuatnya.
relevankah sistem pembahagian kerusi mengikut kuota parti dalam gabungan politik?
Sudah sampai masanya BN perlu berfikir di luar kotak seperti dinyatakan oleh Wan Rosdy.- UTUSAN











