PETALING JAYA: Parti Warisan Sabah (Warisan) mampu menjadi kuasa keempat dalam politik tanah air jika berupaya mencapai kesepakatan dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad bagi membolehkan parti itu bertapak di Semenanjung Malaysia dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik Dr. Mazlan Ali dari Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur berkata, bekas Perdana Penteri itu masih mempunyai pengaruh besar dalam politik dan mampu menarik sebilangan besar pengundi dari seluruh negara.
Malah, beliau berpendapat Dr. Mahathir akan lebih terbuka untuk bersekutu dengan Warisan memandangkan parti Pejuang yang ditubuhkannya masih belum berdaftar sehingga ke hari ini.
“Warisan selama ini hanya bergantung kepada ketokohan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, tetapi, jika parti ini berpakat dengan Dr. Mahathir ataupun Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mempunyai pengaruh orang muda, ada peluang untuk mereka melebarkan sayap di Semenanjung.
“Lagipun, parti Pejuang dan Muda belum diluluskan, jadi Warisan perlukan kerjasama strategik. Kalau tidak, mereka perlu bersama dengan Pakatan Harapan (PH), tetapi mereka tidak boleh jadi ‘big brother’ kalau nak bertanding kerusi yang banyak, boleh jadi ‘adik kecil’ sahaja dalam PRU-15,” katanya.
Justeru, jika menjadi kenyataan, Mazlan berpendapat Warisan mampu menjadi kuasa keempat selepas Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan PH pada PRU-15.
Ketika ini, Warisan memiliki lapan kerusi Parlimen namun mampu memiliki lebih daripada itu pada PRU-15 jika bertanding di Semenanjung bersama Pejuang yang memiliki empat kerusi serta satu lagi kerusi daripada Syed Saddiq.
Beliau mengulas hasrat Warisan sebelum ini yang mahu melebarkan sayapnya ke Semenanjung untuk mengembangkan prinsip ‘unity’ atau perpaduan yang diketengahkan parti itu.
Namun, Mazlan menyifatkan Warisan perlu menggariskan hala tuju jelas kepada pengundi Semenanjung terlebih dahulu, jika mahu mengelakkan diri daripada senasib dengan Parti Bersatu Sabah (PBS).
“Penubuhan Warisan memang berasaskan etnik orang Sabah, kalau nak luaskan ke Semenanjung perlu hala tuju jelas, perjuangan untuk siapa, kalau tidak sukar untuk berkembang di Semenanjung.
“Dulu pun PBS pernah bertanding di Semenanjung tetapi tidak menjadi, jadi dimensi parti perlu diubah supaya boleh berkembang. Kalau tiada hala tuju jelas, sukar Warisan dapat sambutan di Semenanjung,” katanya. – UTUSAN ONLINE










