JOHOR BAHRU: Kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh terhadap Naib Presiden DAP, Teresa Kok dibimbangi akan menjejaskan sokongan pengundi Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Malah, Naib Presiden DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali menyifatkan kenyataan itu tidak beradab dan tidak menggambarkan sikap seorang Muslim.
Beliau mendakwa telah menerima respons kurang memberangsangkan tentang isu tersebut daripada pengundi di kawasan DUN Mahkota setelah beberapa kali turun padang.
“Kenyataan yang sangat keras dengan menggelar YB Teresa sebagai ‘Nyonya tua’ dan mahu ‘tampal logo tak halal’ pada dahi Teresa, saya anggap itu kurang beradab. Mungkin Akmal mahu tunjukkan beliau anak jantan, tapi malangnya ia hanya mempamerkan sikap Muslim yang tidak berhikmah.
“Saya cukup bimbang pendekatan Akmal akan memberi kesan negatif pada pola sokongan pengundi DUN Mahkota untuk calon Perpaduan daripada Barisan Nasional (BN),” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Sheikh Umar berkata, antara respons yang diterima pihaknya berhubung Dr. Muhamad Akmal adalah pemimpin UMNO itu merupakan seseorang yang ‘gangster’.
“Respons yang saya terima agak membimbangkan. Pengundi bukan Melayu khususnya memang sangat tidak selesa dengan pendekatan Akmal. Tetapi yang turut mengejutkan ialah, pengundi Melayu juga ada yang tidak selesa dengan sikap Akmal yang dianggapnya sebagai ‘gangster’.
“Bagi saya, Akmal tidak boleh menghamburkan kenyataan serta kecaman secara tidak sopan lebih-lebih lagi calon Mahkota adalah anak buahnya sendiri, Ketua Pemuda UMNO Bahagian. Nasihat ikhlas saya, Akmal perlu diuruskan oleh UMNO demi kemenangan calon Perpaduan di DUN Mahkota. Sebarang perkara berbangkit hendaklah diselesaikan secara musyawarah, matang dan bijaksana,” katanya.
Terdahulu, Teresa dilaporkan berkata, pelaksanaan pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan secara paksa kerana akan membebankan peniaga. – UTUSAN











