MUKADIMAH
MEMEGANG status sebagai sebuah hospital kerajaan paling besar di Malaysia dan antara yang paling lama dibina semestinya menyimpan 1,001 kisah.
Selain itu, tanggungjawab digalas juga berat bagi membantu pesakit dan melayan pelbagai kerenah dan aduan masyarakat yang mahu mendapatkan perkhidmatan perubatan.
Antara yang sering dirungutkan adalah ‘disidai lama’ yang dikaitkan dengan kekurangan doktor dan jururawat dan tempat parkir yang tidak mencukupi.
Namun, jasa Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang dibina sejak tahun 1870 tidak boleh diketepikan. Justeru wartawan Mingguan Malaysia MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemu ramah Pengarah HKL, DATUK DR. HARIKRISHNA K. R. NAIR bagi mendapatkan perspektif dan hala tuju hospital berkenaan. Turut membantu jurufoto, FARIZ RUSADIO.
CABARAN HKL
MINGGUAN MALAYSIA: Apakah cabaran yang dihadapi oleh pengurusan dan kakitangan selain Datuk sendiri yang baru dilantik mengetuai HKL?
HARIKRISHNA: Salah satu cabaran di HKL ini adalah di Jabatan Kecemasan. Kebanyakan orang yang datang, mereka selalunya akan kata lama menunggu, tidak cukup katil dan pergerakan (urusan) lambat sehingga berjam-jam.
Sebenarnya, kita memang cuba sebaik mungkin dan mencari pelbagai inisiatif untuk mengurangkan masalah berkenaan.
Sebab itu, masa bulan pertama saya menjawat jawatan sebagai Pengarah, boleh dikatakan setiap hari saya akan lihat dan pantau keadaan di sana (Jabatan Kecemasan) serta lihat berapa katil yang ada.
Jadi daripada situ, kita kemudiannya menubuhkan pasukan petugas khas hanya untuk menyelesaikan isu di Jabatan Kecemasan dan pastikan pesakit yang perlu ditempatkan ke wad-wad di unit lain dapat dipindah dengan segera.
Task force ini terdiri daripada Timbalan Pengarah, pegawai bahagian perubatan, medical admission (kemasukan perubatan) dan semua sekali akan duduk serta berbincang. Setiap minggu kita fikirkan perancangan untuk mempercepatkan pergerakan ini.
Dalam erti kata lain, kita mahu jadikan segala proses berjalan lancar bagi setiap urusan. Kemudian di bahagian perubatan, saya buka empat katil dan kita buat step down wad (untuk rehabilitasi atau stabilisasi). Maknanya, kalau seseorang pesakit itu tidak bahaya, kita akan letakkan di wad berkenaan.
Maka dengan itu, di Jabatan Kecemasan HKL ini boleh saya katakan kita sedang melalui penambahbaikkan di samping kerja-kerja pembangunan di kawasan berhampiran.
Namun pada masa sama, kita perlu ingat apabila ada pembangunan, kawasan ruang Jabatan Kecemasan tinggal 50 peratus (kapasiti) sahaja yang boleh diguna pakai.
Walaupun tinggal dalam separuh ruang yang kapasiti yang boleh diguna pakai, ia tidak menghalang kita untuk melihat dan merawat semua pesakit.
Pesakit juga tidak boleh dihantar pulang atau menghalang mereka daripada datang ke hospital mendapatkan rawatan. Lagipun kita menggunakan manual untuk pendaftaran pesakit dan kami perlu terima semua (pesakit).
Kalau sesetengah hospital mungkin tidak boleh sebab mereka mempunyai sistem dan mereka tidak boleh ambil lebih pesakit kerana sistem berkenaan terhad untuk jumlah tertentu (kemasukan pesakit).
Dalam tempoh 100 hari (menjawat jawatan) ini, kita sudah kurangkan masalah-masalah yang biasa dihadapi. Sekarang keadaan bertambah senang berbanding dulu. Kalau dulu apabila tiba hari Jumaat, Sabtu, Ahad atau cuti umum, katil-katil yang ada penuh.
Keduanya, apabila pesakit datang, katakan dia ke Jabatan Kecemasan dan selepas itu perlu pergi ke wad pembedahan dan unit lain dalam satu hari. Selama ini di setiap tempat pesakit perlu berikan maklumat peribadi kepada kepada kakitangan.
Sekarang saya mahu buat electronic medical record (rekod perubatan elektronik) atau health reservation system (sistem tempahan kesihatan).
Jadi, kita mahu bergerak ke arah digitalisasi hospital. Itu aspirasi saya. Sama juga dengan sistem kerja. Contohnya, ada beberapa email dan perlu buka satu persatu. Maknanya tiada integrasi antara semua.
Sebab itu, kita minta agar diluluskan permohonan ini. Tambahan pula HKL antara paling besar iaitu 2,300 katil. Tanpa mengira katil tambahan. Kakitangan pula ada 12,000 orang. Selepas itu, kita ada pesakit yang ramai.
Dalam tempoh sehari untuk pesakit yang menerima rawatan di pesakit dalam ialah 184 manakala pesakit luar 118. Untuk kecemasan pula seramai 390 sehari. Jumlahnya, ramai di tempat itu.
Sebenarnya banyak lagi kita mahu laksanakan perubahan seperti hub pendidikan. Pesakit boleh mendapatkan kemudahan wi-fi percuma dan pesakit boleh baca pelbagai bahan bacaan.
‘DISIDAI’ LAMA?
Berapakah tempoh masa menunggu untuk pesakit di HKL?
Biasanya 90 minit. Tetapi pada masa tertentu apabila ada insiden besar melibatkan ramai mangsa, ia boleh mencecah antara dua ke tiga jam. Tapi ukuran masa menunggu bukan ketika mula berjumpa jumpa doktor sebaliknya daripada peringkat mendaftar dan berjumpa doktor. Cuma sebelum itu seseorang pesakit akan diasingkan dulu.
Selepas itu, awak akan jumpa doktor dan kemudian awak akan buat x-ray, pemeriksaan darah dan sebagainya.
Kemudian awak tunggu balik. Jadi, pada masa ini saya kata memang 90 minit. Tapi kebanyakan masa, ia boleh mencecah dua ke tiga jam sebab pesakit perlu tunggu dulu di setiap bahagian. Dan kemudian barulah pesakit berkenaan akan berjumpa doktor semula untuk mendapatkan laporan dan sebagainya.
Dan selepas itu pesakit perlu tunggu lagi sebab mereka perlukan nasihat daripada kepakaran lain. Sebab kita tidak pasti apa masalah sebenar pesakit berkenaan.
Tetapi di Jabatan Kecemasan apa yang bagusnya, semua doktor akan datang dan periksa pesakit.
Macam di klinik kesihatan awak pergi jumpa hanya seorang doktor. Kalau di sini kita ada pakar psikiatri dan pakar neurologi untuk pemeriksaan. Selepas itu, apabila ada pendarahan dalam otak, pesakit akan menjalani pemeriksaan CT Scan pula. Banyak doktor daripada pelbagai bidang di sini.
Masalahnya, kadang-kadang pesakit tidak faham. Mereka ingat jumpa satu doktor itu cukup dan doktor akan cakap semua walhal doktor ini ada kepakaran tersendiri.
KEKURANGAN DOKTOR DAN JURURAWAT
Adakah HKL berdepan dengan kekurangan doktor dan jururawat?
Sebenarnya, ia berlaku di semua hospital termasuk HKL. Jadi, kita buat mapping (pemetaan).
Apabila buat mapping, kita boleh nampak jabatan mana yang warnanya merah. Merah ini maksudnya apabila kita periksa doktor mengikut bilangan pesakit yang perlu dirawat, nisbahnya tinggi. Dalam erti kata lain sudah genting.
Kita ada lebih kurang enam jabatan yang berdepan kekurangan. Kalau seorang doktor perlu merawat 100 pesakit, itu tidak boleh sebab banyak sangat. Biasanya seorang doktor dalam 10 ke 20 pesakit (dalam sehari).
Selain itu, kekurangan doktor berlaku sebab ketika HKL ini dibuka. Kuala Lumpur ada dalam sejuta penduduk dan sekarang sudah mencecah lapan juta. Jadi, pesakit dan rakyat bertambah. Hospital yang sama jumlah kakitangan tetap 12,000 sebabnya perjawatan. Walhal kita jaga semua lapan juta penduduk.
ADA PERALATAN SUDAH BOLEH LUPUS
HKL merupakan sebuah hospital lama yang dibina pada tahun 1870. Adakah HKL berdepan dengan masalah infrastruktur dan peralatan?
Kita ini sudah menjangkau 154 tahun dan salah satu perkara yang baik ialah sokongan padu daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Kita HKL ini berbeza sedikit, tidak sebagaimana di negeri-negeri lain. Kita tidak lapor kepada mana-mana Jabatan Kesihatan, sebaliknya kita lapor terus kepada menteri.
Sebab itu, apabila kita buat permohonan untuk perolehan, kita akan hantar terus kepada KKM). Memang perbelanjaan kita pun lebih RM1 bilion untuk bayar gaji, emolumen dan sebagainya.
Bagaimanapun, kita tidak nafikan memang ada barangan yang mahu dilupuskan dan sudah usang.
Apa kita kena buat adalah mengemukakan permohonan walaupun bukan 100 peratus (diluluskan). Kalau mahu dapatkan semuanya baharu, tidak boleh juga.
Jadi, sebab itu apa yang saya mulakan dalam tempoh tiga bulan ini saya beritahu kepada ketua jabatan bahawa mereka perlu asingkan aset-aset sama ada aset perubatan atau bukan perubatan dengan mengikut kepentingan. Jadi, jabatan yang memerlukan peralatan akan memasukkan permintaan dalam sistem untuk tindakan seterusnya.
KOS OPERASI
Boleh Datuk kongsikan purata kos operasi di HKL?
Purata kos operasi sebulan adalah RM89.525 juta untuk sebulan dan untuk purata kos perubatan pula lebih kurang RM30.477 juta.
Kos semestinya akan meningkat dengan berdasarkan beberapa faktor iaitu kadar inflasi dan kadar tukaran mata wang asing. Kadar peningkatan pula ialah perlahan dan kalau terus meningkat naik, ekonomi tidak baik.
KUALITI PERKHIDMATAN
Bagaimana HKL menangani isu kualiti perkhidmatan?
Apa yang saya buat sekarang ialah semua aduan akan sampai ke bilik saya dan kemudian berbincang dengan Ketua Penolong Pengarah Kanan selain memanggil unit komunikasi korporat dan Unit Etika serta Unit Medikolegal.
Berbincang dengan mereka untuk buat mitigasi dan panggil balik pesakit. Jadi sekarang lebih mudah berbanding dulu.Lagipun saya tidak mahu mereka bekerja dalam silo.
Yang kedua, ada ‘dashboard’ di mana aduan dan Medico Legal akan dimasukkan ke dalamnya. Kita akan lihat masalah semua dan apakah tindakan seterusnya yang harus diambil. Apa kita buat selepas itu saya ada jemput KKM untuk datang membuat tinjauan.
Kalau kata tidak bagus, sila beri tunjuk ajar. Jadi, ini yang kita buat dan secara tidak langsung mempercepatkan proses aduan dan aduan yang ada menjadi kurang.
Untuk pengetahuan awak, kita ada rekod lebih kurang lima juta fail lama dan sekarang baru hendak scan dan simpan. Sebabnya, banyak pesakit.
Berapa jumlah purata aduan diterima?
Setiap hari tidak banyak dan setiap minggu pula ada dalam dua digit. Saya tengok aduan-aduan ini bukan sebagai satu masalah.
Kita perlu faham pesakit yang sedang merintih sakit ini sedang menderita. Apabila ada kekurangan di pihak kita, mereka boleh beritahu apa yang (pesakit) mahu dan sepatutnya kakitangan buat.
Jadi, kita perlu terima nasihat mereka. Mungkin ada hikmahnya. Katakan dia beritahu supaya ditambah parkir untuk memudahkan urusan, memang kita ada buat.
Sekarang ini ada 4,824 unit parkir untuk kakitangan manakala 1864 untuk orang awam.
Kemudian kita ada Laluan Transit Aliran Massa (MRT) terus ke stesen berhampiran HKL. Selain MRT, terdapat bas dan monorail. Kemudian kita ada bas ulang alik untuk membawa pesakit.
Sekarang dalam dua bulan ini ada kenderaan ulang alik yang lain. Kalau awak letak kereta kawasan tertentu, kenderaan berkenaan akan bawa ke hospital.
Satu lagi kita ada navigation portal (navigasi portal). Dengan sistem ini, awak boleh masuk ke dalam (sistem) dan cari tempat tanpa perlu terkial-kial. Di samping itu, saya minta tukar papan tanda dan kemudian letak banting di beberapa tempat sebagai ucapan kepada orang ramai. Kita mahu ubah hospital kepada tempat yang sentiasa mengalu-alukan kedatangan pesakit.
Malah, kita ada satu pondok untuk informasi. Tanya mereka yang berada di pondok berkenaan dan selepas itu dibawa masuk ke dalam (hospital) dan di dalamnya ada bahagian komunikasi korporat yang boleh membantu.
Dengan adanya kemudahan sebegini, ia sudah cukup untuk menyenangkan pesakit yang datang. Sekarang ini kita mahu pesakit guna kemudahan yang ada dan beri maklum balas kepada kita untuk tahu sama ada ia berkesan atau tidak.
PENANDA ARAS
Di tahap mana Datuk mahu meletakkan kualiti perkhidmatan HKL dan apakah penanda aras kepada kualiti berkenaan?
Kita ada kepakaran dalam kebanyakan bidang dan peralatan robotik. Memang kita ada semua mesin canggih. Namun bagi saya walaupun kita menjadi hospital kelima terbaik di Malaysia, sebagai sebuah hospital kerajaan dengan 2,300 katil, 12,000 kakitangan, 53 jabatan dan 44 bangunan, kita sepatutnya berada kedudukan nombor satu dengan mengatasi hospital swasta lain.
SIFAR ADUAN
Mampukah HKL mencapai sifar aduan?
Kita sedang cuba untuk mencapai ke arah sifar aduan. Tetapi ia bergantung kepada beberapa keadaan.
Apabila kita memperkatakan tentang perkara tersebut ia menyentuh kepada aduan yang didokumentasikan, yang berkaitan hal-hal perkhidmatan. Ini kita boleh capai ke arah berkenaan.
Tetapi kalau aduan biasa-biasa seperti kakitangan mukanya masam, tidak senyum atau tidak mesra ia agak susah sikit kerana adakalanya ia berkaitan dengan persepsi.
Tetapi apa yang saya buat saya akan pastikan akan ada pegawai perhubungan di setiap bahagian dan unit. Dia akan diajar tentang cara menggunakan navigasi portal; trafik; polis bantuan; parkir dan pelbagai lagi kerja berkaitan infrastruktur.
Dia juga akan buat kerja-kerja mitigasi. Sebagai contoh, kalau nampak ada pakcik tua datang tetapi mungkin dia tersilap atau terlambat, pegawai berkenaan akan iring dia dan bantu untuk ke unit yang sepatutnya.
Kerja itu akan mengurangkan aduan yang didokumentasikan. Sebab itu, sekarang saya pilih semua aduan dan masukkan dalam satu folder kakitangan.
Kakitangan saya akan lihat semua aduan dan asingkan yang mana disebabkan sikap dan mungkin disebabkan masalah lain. Jadi, kita perbetulkan perkara berkenaan, bukan sekadar memberi maklum balas. Kita juga akan melayan seseorang pesakit sebaiknya dan berikan keperluannya.
Harapan Datuk sepanjang berkhidmat bersama HKL?
Saya sudah berada di hospital ini 30 tahun iaitu kira-kira 20 peratus daripada usia hospital ini. Sudah semestinya saya mahu menjadikan hospital ini sebagai terunggul dan hospital terbaik serta paling sofistikated. Ia bukan sekadar hospital sebaliknya gudang untuk belajar.
Semua perkara berkaitan dengan ilmu ada di sini. Ada pakar dari pelbagai negara datang atau kita boleh pergi kepada mereka. Dalam erti kata lain sesi pertukaran ilmu dan maklumat.
Kedua, pesakit akan dapat standard of care (penjagaan standard). Maknanya, apa yang ada di HKL sama seperti di negara luar. Penting bagi saya adalahj legasi dan bukan teruskan HKL semata-mata.
WAD DIRAJA
Apakah yang perlu rakyat tahu tentang Wad Diraja?
Ia memang untuk Yang di- Pertuan Agong dan sultan serta anak-anak mereka. Usianya sudah lama dan bertahun-tahun.
Sekarang kita mahu tambah baik. Kita pegawai perubatan memang akan menjaga setiap Yang di-Pertuan Agong. Malah ada pasukan perubatan diraja untuk pantau kesihatan sekiranya ada yang dimasukkan ke sini. Justeru, kita sudah hantar skop kerja ke Kementerian Ekonomi, KKM dan pihak-pihak berkaitan. Sekarang ini, memang kita sedang cuba untuk mendapatkan peruntukan bagi menaik taraf wad ini dan memastikan semua peralatan berfungsi dengan baik.
Anggaran kos keseluruhan adalah RM9 juta untuk wad Yang di-Pertuan Agong dan wad kemudahan sultan. – Mingguan.










