BALI: Pembangunan sistem kereta api Light Rail Transit (LRT) Bali Fasa 1 dan 2 dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2031, dengan sasaran operasi penuh bagi kedua-dua fasa tersebut.
Laluan fasa 1 meliputi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai hingga ke Cemagi, manakala fasa 2 akan merangkumi laluan dari Ngurah Rai ke Nusa Dua.
Pengarah Urusan PT Sarana Bali Dwipa Jaya (SBDJ), Ari Askhara berkata, proses pembangunan dijadualkan bermula pada April 2025 dengan menggunakan 10 Tunnel Boring Machine (TBM) atau mesin bor bawah tanah.
Tambah beliau, fasa 1 dijangka selesai pada awal tahun 2028, manakala fasa 2 dijangka selesai pada akhir tahun sama, manakala keseluruhan projek bagi fasa 1 dan 2 dijangka beroperasi penuh pada akhir tahun 2031.
“Untuk fasa pertama kita akan selesaikan pada awal 2028, dan fasa kedua pada akhir 2028. Keseluruhan dua fasa ini dijangka beroperasi sepenuhnya pada akhir tahun 2031,” katanya di Bali pada Rabu.
Panjang keseluruhan laluan fasa 1 adalah 16 kilometer, manakala fasa 2 adalah 13.5 kilometer, dengan jumlah keseluruhan panjang laluan bagi kedua-dua fasa adalah 29.5 kilometer.
LRT ini akan dilengkapi enam gerabak, masing-masing sepanjang 20 meter dan mampu membawa 240 penumpang setiap 10 minit perjalanan.
“Jumlah gerabak adalah enam, dengan panjang satu gerabak 20 meter. Setiap gerabak boleh memuatkan 40 orang, jadi jumlah keseluruhan adalah 240 penumpang setiap 10 minit,” katanya.
Tambah beliau, projek pembinaan pengangkutan awam kereta api ini merupakan inisiatif daripada pemerintah tempatan yang diteruskan oleh PT SBDJ dengan kerjasama PT Bumi Indah Prima (BIP) dan tidak menggunakan sebarang dana kerajaan.
“Jumlah keseluruhan pelaburan bagi kedua-dua fasa pertama ini adalah sebanyak AS$10.8 bilion, manakala bagi keseluruhan empat fasa projek ini, jumlah pelaburan dianggarkan sebanyak AS$20 bilion,” katanya.- AGENSI










