Beza ‘Walanon, ‘Walaun’ dan penyokong pasukan bola sepak

Beza ‘Walanon, ‘Walaun’ dan penyokong pasukan bola sepak

Reaksi penyokong pasukan JDT pada perlawanan akhir bola sepak Piala FA menentang pasukan Selangor di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Sabtu lalu. – MINGGUAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APA perbezaan penyokong parti politik dengan penyokong pasukan bola sepak? Adakah dua-duanya betul-betul fanatik?

Saya rasa tidak. Tetapi itu bergantung kepada kefahaman dan penerimaan masing-masing. Pada saya, penyokong mana-mana pasukan bola sepak kalau team yang dia sokong itu kalah, lazimnya dia akan kutuk pasukan tersebut beberapa hari. Tidak kiralah, golongan ‘ultra’, ‘geng lalang’ atau tidak, rasa kecewa itu pasti ada.

Tetapi tidak kepada penyokong parti politik, katalah apapun, walaupun pemimpin yang disokongnya tidak cemerlang, cakap merapu meraban ketika ditanya hal-hal isu semasa atau terbukti dalam mahkamah dia terlibat dalam jenayah salah laku, mereka tetap sokong.

Pada Sabtu lalu, saya tutup awal siaran langsung di televisyen apabila pasukan JDT sudah mendahului Selangor 3-1 dalam perlawanan akhir Piala FA.

Itu antara reaksi seorang penyokong pasukan bola sepak. Sama ada mahu larut dalam kekecewaan atau memilih untuk tidak mahu menyakitkan hati, lebih baik tutup TV. Habis cerita.

Kalau kita tengok di laman media sosial pun, penyokong pasukan bola sepak tidak setaasub mana. Menang puji. Kalah kutuk. Hendak cari yang betul-betul berfikiran positif menganggap kekalahan sesuatu yang tidak apa atau boleh cuba lagi pada perlawanan akan datang, memang payah.

Sebab itu, apabila pasukan yang disokong sudah kena 3-0 misalnya, ramai yang pakat-pakat tinggalkan stadium. Tidak kiralah sama ada liga bola sepak di dalam negara atau luar negara. Sama saja corak dan mentaliti penyokong-penyokongnya.

Selepas itu, saya buka semula TV. Cuba cari ‘hiburan’ lain di malam minggu itu, apabila Selangor sudah ketinggalan jauh, tengoklah pula Liga Perdana Inggeris. Kebetulan pula pada malam tersebut Manchester United tewas 2-1 menentang Brighton. Macam di Malaysia juga, teruk Manchester United dikecam di media sosial.

“Baru dua game, sudah masuk gua,” kata seorang penyokong dari negara ini, di Facebook. Saya syak dia ini penyokong Liverpool. Selepas perlawanan itu, ‘page troll’ sukan penuh dengan lawak ‘membahan’. Habis membahan senyaplah. Tunggu perlawanan lain pula. Itu cara penyokong pasukan bola sepak ‘berhibur’.

Tidak seperti penyokong parti politik apabila pemimpin mereka kalah atau menang sekalipun, mereka tidak habis-habis mengulas mengatakan kebaikan dan ruginya rakyat tidak menyokong pemimpin itu.

Senang cakap, kalah bising, menang pun bising. Sementera penyokong pasukan bola sepak, pula – menang dipuji, kalah kena kecam walaupun pasukan kegemaran sendiri.

Dengan segala kekalutan dan kemelut politik yang berlaku di tanah air ini, timbul juga persoalan adakah politik itu menyatukan? Saya fikir tidak. Gelaran ‘Walanon’ dan ‘Walaun’ pasti tidak akan hilang walaupun sesudah Pilihan Raya Umum ke-16 nanti.

Justeru apabila pemimpin politik bertelagah sesama sendiri tetapi pada masa sama bercakap pasal perpaduan tentulah ini antara perkara-perkara ‘ajaib’ di dunia.

Begitu jugalah halnya pada hari kemerdekaan negara. Hal-hal perpaduan dan semangat patriotik akan berterusan dicanang dalam ucapan tetapi hakikatnya mereka sesama pemimpin parti politik pun bercakaran. Menasihati rakyat memang mudah. Tetapi mereka sendiri tidak ‘makan’ nasihat itu.

Mereka bercerita pasal perpaduan kaum, tetapi mengapi-apikan dan menyentuh sensitiviti agama dan kaum. Walhal rakyat elok saja berkawan baik tidak kira kaum.Ada yang meminta pemimpin itu dan ini bermuhasabah diri, walhal diri sendiri pun patut bermuhasabah juga. Kena pada pemimpin lain dia cerita pasal kifarah, kena pada diri sendiri, dia cakap ia satu konspirasi. Jika bersikap hipokrit begini, adakah rakyat akan rasa hormat kepada pemimpin parti politik?

Dan yang tidak habis-habis mengulas di semua platform media sosial sampai berjela-jela panjangnya tentulah penyokong Walanon atau Walaun. Mereka ini menjadi pakar mengupas setiap isu-isu semasa dan mengaitkannya dengan kelemahan pentadbiran parti kerajaan atau pembangkang.

Dalam usia 67 tahun merdeka ini, sepatutnya tempoh yang panjang itu telah mematangkan pemimpin dan rakyatnya dalam berkata-kata dan bertindak.

Pada saya, lebih baiklah Walanon dan Walaun ini bercakap tentang Malaysia. Bagaimana untuk memajukan negara yang dihuni oleh berbilang kaum ini.

Bagaimana mahu meningkatkan keharmonian hidup di Malaysia yang dikatakan berada di kedudukan ke-10 Indeks Keamanan Global 2024 (GPI) sebagai antara negara paling aman di dunia. Bagaimana keamanan itu diukur, kalau terus berseteru?

Mengutamakan bendera parti politik daripada mengangkat bendera Malaysia, sanggup memburukkan negara di mata dunia, tentulah orang sebegini hanya mahu parti politik mereka memerintah, walaupun terang-terang ditolak rakyat dalam pilihan raya.

Janganlah membiarkan diri dipergunakan oleh segelintir ahli politik yang hanya mahu meraih undi untuk kepentingan peribadi. Sedangkan, penyokong atau pengundi tidak mendapatkan apa-apa manfaat daripada kemenangan itu, kecuali bertelagah di media sosial.

Pemimpin yang disokong dan diangkat hidup senang lenang. Kawasan pun jarang-jarang dilawati setelah menang. Tiada lagi aksi kacau dodol bersama rakyat, mengharungi banjir dengan rakyat atau membasuh dewan orang ramai yang sudah bersih, apatah lagi mahu menziarah pengundi yang sakit manakala pengundi tegar, hidup melarat dan tersepit. Tidakkah ini satu penipuan?

Seperti yang saya pernah tulis di dalam kolum ini setahun lalu, ketika negara sedang menyambut bulan kemerdekaan – Walanon atau Walaun, kita ini rakyat Malaysia. Jangan asyik bercakap pasal politik, suka sangat mencari salah tetapi kerja sendiri tak jalan. Sampai beras pun rupa-rupanya isteri yang beli. – Mingguan Malaysia

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×