JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia menjalankan siasatan pada Selasa selepas serpihan sebesar sebuah kereta dipercayai berasal daripada roket China jatuh di Kalimantan.
Menurut sebuah agensi kerajaan, serpihan itu terhempas di ladang kelapa sawit berhampiran kawasan perumahan dan tempat kerja.
Serpihan itu ditemukan seorang pekerja ladang pada pagi Isnin di Kalimantan, Indonesia.
Beliau menemukannya selepas penduduk melaporkan terdengar bunyi dentuman kuat pada malam sebelumnya di kawasan terpencil di wilayah Kalimantan Tengah.
“Benda itu berada di situ. Pada mulanya, saya menyangka ia mungkin serpihan pesawat,” kata Wardi Tamroni kepada AFP mengenai penemuannya berhampiran bandar Sampit.
Wardi, 51, berkata, objek itu terhempas kira-kira tiga kilometer dari kompleks perumahan milik syarikat kelapa sawit PT Agro Bukit, tempat beliau bekerja.
“Kami biasanya menjalankan kerja di kawasan tempat objek itu terhempas,” katanya.
“Nasib baik, semua pekerja sudah pulang ke rumah, jadi tiada sesiapa berada di ladang ketika kejadian,” tambahnya.
Ketua polis tempatan, I Kadek Dwi Yoga Sidhimantra menyifatkan objek itu sebagai plat aluminium yang agak besar, berukuran sehingga sembilan meter, berbentuk tidak sekata dan mempunyai kesan terbakar.
Jurucakap penerbangan awam, Zachrudien berkata, kejadian itu tidak mengakibatkan kehilangan nyawa atau kerosakan harta benda.
Seperti kebanyakan rakyat Indonesia, beliau hanya menggunakan satu nama.
Beliau menambah, serpihan itu juga tidak mendatangkan risiko radiasi atau ketoksikan.
Agensi Penyelidikan dan Inovasi Nasional Indonesia (BRIN) berkata, serpihan itu dipercayai berasal daripada roket Zhuque-2E buatan China.
Kerajaan China berkata minggu lalu bahawa roket Zhuque-2E telah melancarkan 10 satelit ke angkasa lepas dari sebuah tapak pelancaran komersial di barat laut negara itu.
Pentadbiran Angkasa Negara China tidak dapat dihubungi dengan segera untuk mendapatkan komen.
Penyelidik BRIN, Thomas Djamaluddin, berkata, tidak semua bahagian kapal angkasa terbakar sepenuhnya ketika memasuki semula atmosfera Bumi, manakala komponen yang lebih tahan haba mungkin sampai ke permukaan.
“Fenomena ini merupakan salah satu penjelasan yang mungkin bagi penemuan serpihan logam besar di ladang kelapa sawit di Sampit,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada pagi Selasa, satu lagi serpihan yang dipercayai berasal daripada roket sama ditemukan kira-kira satu kilometer dari lokasi serpihan pertama, menurut Zachrudien.
“Kami merancang untuk memeriksanya. Berdasarkan gambar, objek itu kelihatan berbentuk bulat dan mempunyai kaitan dengan objek pertama,” katanya kepada AFP.
“Bahannya juga kelihatan seperti aloi aluminium, tetapi kami perlu mengesahkannya,” tambahnya.
Kedua-dua serpihan itu sedang diperiksa di sebuah pangkalan udara tentera berhampiran. – AFP











