BAITULMAQDIS: Usaha Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) untuk memberikan vaksin polio kepada kanak-kanak di Palestin terjejas berikutan keengganan tentera Israel menghentikan serangan di Gaza.
Jurucakap agensi itu di Gaza, Jonathan Crickx berkata, ia susulan arahan pemindahan berterusan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) yang tidak henti-henti melancarkan serangan ke wilayah Gaza walaupun ketika penduduk amat memerlukan bantuan kemanusiaan.
“Satu perkara yang pasti adalah hampir mustahil untuk melaksanakan kempen vaksinasi polio berskala besar di zon peperangan,” katanya dipetik The Guardian.
Sebelum ini, pihak berkuasa kesihatan Palestin menterian mengumumkan kes pertama polio di Gaza dalam tempoh 25 tahun di bandar Deir al-Balah yang melibatkan seorang bayi berusia 10 bulan yang belum menerima sebarang dos vaksin polio.
Crickx berkata, pihaknya sedang berbincang dengan IDF berhubung pelaksanaan kempen vaksinasi berkenaan selepas sejumlah 25,000 unit vaksin diterima di Gaza menerusi laluan Kerem Shalom, kelmarin.
Pekerja bantuan memberi amaran, kempen vaksinasi dijadualkan bermula hujung minggu ini mungkin gagal diberikan kepada lebih ramai kanak-kanak untuk menghentikan penyebaran virus polio yang dikesan di Gaza bulan ini, buat kali pertama dalam 25 tahun.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), tentera Israel telah mengeluarkan 16 arahan pemindahan pada bulan ini sahaja, memaksa 12 peratus daripada populasi wilayah Gaza berpindah dalam beberapa hari.– AGENSI










